Hai, nama aku Balqis binti Amran. Orang panggil Qis je. Aku merupakan salah seorang pelajar di Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur, Malaysia. Dan juga merupakan penuntut ijazah tahun akhir dalam bidang sains kemanusiaan, psikologi. Umur aku sekarang baru 23 tahun. Tapi mak aku dah mula bertanya pasal teman lelaki kat aku. Bila aku dah semakin nak genggam ijazah ni, semakin galak pula dia bertanya.
“Kau tu bukannya kecik lagi. Masa mak kahwin dengan ayah kau dulu, umur mak masa tu lagi muda daripada kau sekarang ni tau.” Puan Zuraidah, ibu kesayanganku itu mula berceloteh.
Aku yang sedang melipat baju di ruang tamu rumah ketika itu, hanya mengangguk-anggukkan kepala.
“Itu zaman mak. Zaman Qis lain. Orang perempuan sekarang dah ramai yang bekerjaya, mak. Kan Qis dah cakap, selagi Qis tak genggam ijazah, Qis takkan kahwin.” Balasku pula.
Kulihat wajah emak, seakan tidak berpuas hati saja dengan jawapan yang aku berikan.
“Mak faham cita-cita kau tu. Tapi sekurang-kurangnya, carilah teman. Bertunang dulu pun tak apa.” balas emakku.
Aku buntu memikirkan apa lagi alasan yang patut aku berikan kepada emak kesayanganku itu.
“Macam manalah Qis nak bertunang mak oii. Kawan lelaki pun berapa kerat je yang Qis ada. Takkan Qis nak mengiklankan diri kat kampus tu pulak? Nak Qis tulis: Tawaran meminang. Siapa yang berminat, sila pinang segera. Mak nak macam tu?” aku ketawa perlahan. Emakku pula menjeling geram.
Begitulah aku. Selalu sahaja endah tak endah tentang hal yang dianggap penting bagi emakku. Aku bukan bermaksud begitu sebenarnya. Sebagai anak sulung, pastinya aku mendahulukan keluarga dan pelajaranku berbanding cinta. Itulah sebabnya mengapa aku masih single sehingga sekarang...
**********
“Balqis…!” suara itu membuatkan aku tersentak.
Aku menoleh memandang Nurul dan Zura yang terkedek-kedek berlari mendapatkanku.
“Amboi, Qis. Menonong je jalan. Tak pandang kiri kanan langsung.” Nurul mengomel di sebelahku. Aku menoleh ke arah Zura pula.
“Awal kau habis kuliah hari ni?” Zura bertanya kepadaku.
“Hello, aku yang habis awal ke, ataupun korang yang lambat? Tengok jam sikit pukul berapa sekarang? Macam cacing kepanasan tau aku tunggu korang dekat bawah pokok sana tu.” Aku menjerkah mereka. Siap bercekak pinggang lagi.
“Alah, bukan aku. Si Nurul ni ha. Banyak sangat soalan yang ditanya dekat ustaz idaman dia tu. Bukannya tak faham, saje nak bermesra-mesra. Naik meluat pulak aku tengok.” Zura mengantoikan Nurul.
Tak pasal-pasal, satu cubitan hinggap di pinggangnya. Zura mengaduh sakit. Dan tanpa mengendahkan mereka, aku terus berlalu dari situ. Malas nak tengok aksi mereka. Dah naik muak dah…
Itulah dia kawan baik aku dunia akhirat. Nur Nazura bt Hamdan dan Nurul Nabihah bt Razali. Kami mula rapat sejak di tahun pertama lagi kami masuk ke sini. Zura dan Nurul, masing-masing merupakan penuntut dalam bidang undang-undang syariah. Cuma aku sahaja yang tersesat ke bidang sains, kerana itu memang minatku sejak kecil. Kitorang ni, walaupun berlainan course, tetapi tetap berkepit setiap masa. Habis sahaja kuliah, mulalah kitorang get together. Kemudian, mereka akan menjadi penumpang paling setia Kelisa comel aku tu. Maklumlah, tinggal menyewa bersama. Mak dan ayah, masing-masing jauh di kampung. Jadi, sama-samalah menumpang kasih, dan sama-samalah menumpang kereta.
Aku, Zura dan Nurul melangkah ke tempat letak kereta. Baru sahaja aku menghidupkan enjin, Nurul tiba-tiba menyuruhku keluar kembali.
“Apahal Nurul?” soalku hairan.
“Ni ha. Ada posto la. Cuba kau tengok.” Nurul mencapai sekeping kad yang terselit kemas di tempat pengilap cermin kereta.
“Cuba kau baca sikit apa yang dia tulis kat situ.” Ujar Zura.
Aku mengangguk setuju. Nurul pun mula berdehem-dehem sebelum memulakan bacaannya.
“Korang dengar ye.” Ujar gadis itu dengan gaya menggedik yang dibuat-buat.
Aku dan Zura menunggu dengan muka meluat ciptaan sendiri.
“Untuk si merah membara, Satu hari yang beerti bakal muncul dalam hidupmu. Nantikanlah hari itu kerana aku mula memerhatikan dirimu. Daripada student art and design.” Nurul membaca satu persatu.
“Wah, Qis. Ada admirer nampak.” Ujar Zura sambil mengangkat-angkat keningnya kepadaku.
“Eh, mana kau tahu kad tu untuk aku? Entah-entah korang punya ke.” Balasku.
“La, kau sorang je si merah membara kat sini. Siapa lagi?” ujar Nurul merujuk kepada jubah merah yang kupakai ketika itu.
“Hm, student art and designer? Siapa ye?” Zura menyoal sambil membelek-belek kad tersebut.
“Siapa-siapa je lah. Mentang-mentang la aku student tahun akhir kat sini, ada-ada je.” Komenku pula.
“Si merah membara? Sesuailah nama tu dengan kau, Qis. Comel.” Ujar Nurul kepadaku. Gadis itu ketawa perlahan.
Aku tidak memberi sebarang respon.
Tak payahlah bagi gelaran tu kat aku. Susah-susah je. Esok lusa, bukannya aku pakai baju yang sama. Aku berbisik dalam hati.
Hah, bercerita sedikit tentang kehidupan kami bertiga, kami ni macam kebanyakan gadis remaja lain jugak. Gemar bergaya, shopping dan dress up kitorang pun semuanya trendy. Nak kata loaded, tak juga. Islam kan melarang kita berlebih-lebihan. Apapun, batas-batas sebagai seorang muslimah tetap kami utamanakan. Tudung tak jarang, baju tak ketat, stoking pun sentiasa pakai. Kalau keluarlah. Pendek cerita, perfectlah kitorang punya stail. Alhamdulillah.
Lagipun, islamik kitorang ni, islamik bergaya. Walaupun bertudung, tapi itu semua tak pernah membataskan kami untuk bergiat aktif di kampus. Tapi satu je. Disebabkan kami ni agak islamik sikit, atau bak kata orang, skema, tak ramai lelaki nak dekat. Tapi, itulah yang sebaik-baiknya. Seperti pesan Saidatina Aishah, sebaik-baik wanita, ialah yang tidak memandang, dan tidak dipandang. Hehe, betul tak?
“Hoi, tak reti-reti nak balik ke? Dari tadi tersengih je sorang-sorang. Sewel ke apa?” Nurul menyergahku. Tersentak aku dibuatnya.
“Kau ni, Nurul. Kalau aku mati tadi macam mana? Siapa nak hantar kau balik?” Aku berpura-pura geram.
Nurul tersengih-sengih sambil memohon maaf kepadaku.
Aku tidak mempedulikannya lalu terus masuk ke dalam kereta. Zura disebelahku juga turut diam. Leka ber’sms’ entah dengan siapa agaknya. Tanpa berniat mahu bertanya lebih lanjut, aku terus memecut keretaku pulang ke rumah.
**********
Hari ni, hari sabtu. Aku bangun agak awal berbanding biasa. Sebaik sahaja melangkah ke dapur, bau nasi goreng tiba-tiba menjengah ke lubang hidungku. Nurul dan Zura seakan sedang berperang pula di dapur. Ligat sungguh mereka berdua menyediakan sarapan pagi. Sampaikan langsung tidak menyedari kehadiranku.
“Amboi, macam saje je nak bagitahu jiran tetangga yang kau tengah goreng nasi. Rancak sungguh irama sudip tu. Dijamin lazat ke?” sengaja aku menyakat Nurul.
Gadis itu tiba-tiba mencerun memandangku.
“Ewah, ewah. Dahlah bangun lambat. Banyak songeh pulak kau. Aku suruh kau makan pasir karang, nak?” Nurul mengherdikku.
“Apasal kawan kau ni, Zura? Pagi-pagi dah mengamuk sakan dengan aku. Datang bulan ke?” aku beralih ke arah Zura pula. Terketing-keting bunyi sudu di dalam teko yang dikacau olehnya. Gadis itu kemudian meletakkan teko tersebut di atas dulang bersama-sama tiga biji cawan. Lalu mengarahkanku membawa dulang tersebut ke meja makan. Soalan yang kuajukan tadi, langsung tidak mendapat respon.
Tiba-tiba Zura menarik tanganku ke ruang tamu. Dia mendekatkan mulutnya ke telingaku dan berbisik sesuatu.
“Si Nurul tu tengah frust. Malam tadi, dia tak dapat call Ustaz Hanafi, pensyarah idaman dia tu. Bila aku tanya, dia cuma cakap ustaz tu tak nak layan dia. Aku malas nak tanya lebih-lebih, kang habis satu rumah ni terbalik.” Ujar Zura bersungguh-sungguh. Aku pula mengangguk-anggukkan kepala tanda memahami situasi yang sedang berlaku. Tiba-tiba, Nurul muncul sambil berdehem-dehem.
“Apa bisik-bisik tu? Mengumpat ke ha?” sergah Nurul dari belakang.
Aku dan Zura tersengih-sengih menayang gigi.
“Dah, tak payah susah susah nak jadi model ubat gigi kat sini. Nasi dah siap. Kalau korang nak makan, makan. Kalau tak nak, biar aku makan sorang-sorang.” Ujar Nurul lantas menyendukkan nasi ke dalam pinggannya.
Aku dan Zura sepantas kilat menyambar pinggan dan sudu. Untuk seketika, masing-masing senyap mengisi perut. Tiada sepatah kata pun yang keluar. Yang kedengaran hanyalah bunyi sudu dan pinggan berlaga sahaja.
“Qis.” Zura tiba-tiba memecah kesunyian. Aku memandangnya.
“Yang kau siap-siap dengan baju sukan ni, nak ke mana? Hari sabtu macam ni tak reti-reti ke nak duduk kat rumah, ha?” soal Zura
Nurul di sebelahnya tidak memberikan apa-apa respon. Gadis itu kusyuk sekali menikmati masakannya.
“Kau lupa ke? Aku kan jurulatih pasukan bola jaring universiti kita tu. Sukan universiti kan hujung tahun ni, dik. Nilah masanya aku nak turunkan segala ilmu aku ni dekat junior-junior kita tu. Bila aku dah grade nanti, barulah ada jasa sikit yang tinggal.” Aku kembang kuncup membanggakan diri.
Zura menayangkan muka meluatnya. Dari ekor mataku, kulihat Nurul turut tersenyum simpul.
“Nak ikut ke Nurul?” Soalku kepada gadis itu.
“Buat apa? Aku bukannya ada kena mengena dengan pasukan bola jaring kau tu.” Ujar Nurul.
“Tak nak pergi pejabat lecturer? Boleh jumpa Ustaz Hanafi, tanya kenapa dia tak call kau semalam.” Aku cuba memancingnya.
“Tak naklah. Aku tak ada kena mengena dengan dia.” Ujar Nurul tenang. Namun jelas terlihat riak kecewa diwajahnya.
Zura pula hanya mampu mengangkat bahu.
“Suka hati kaulah. Aku saja tanya. Pejabat lecturer pun bukannya bukak hari sabtu ni.” aku ketawa seronok kerana dapat mengenakan gadis itu.
Mata Nurul mencerun memandangku. Memang dah terkenalah tu.
“Okeylah, aku dah lambat ni. Hari pertama perjumpaan dah buat hal. Kesian budak-budak ni tunggu aku. Aku pergi dululah ye.” Ujarku sambil mencapai beg sandangku yang sedia tersangkut di kerusi itu.
“Bye, jaga diri baik-baik, ye.” Ujar Zura.
“Bawa kereta elok-elok.” Pesan Nurul pula.
Aku hanya mengangguk dan tersenyum. Begitulah sifat mereka. Terlalu baik terhadapku. Bukan aku saja. Sebenarnya, kami memang mengambil berat antara satu sama lain. Dan bagiku, sikap inilah yang mengeratkan lagi hubungan kami hingga ke hari ini.
**********
Sesi latihan pertama bagi semester ini, aku mulakan dengan latihan asasi dan sesi taaruf sahaja. Ramai ahli-ahli baru yang mendaftar bagi semester ini. Kebanyakannya adalah di kalangan pelajar-pelajar baru. Dan aku yakin, bilangan ini pasti akan berkurang tidak lama lagi kerana latihan yang bakal dijalankan bukan sembarangan latihan. Hanya yang benar-benar tahan dan cekal sahaja layak menganggotai Violet Team ini. Dan hasilnya, lahirlah pemain-pemain handalan sehingga berjaya mewakili peringkat kebangsaan. Seperti? Akulah, siapa lagi?
Aku memberi sedikit taklimat dan kata-kata peransang kepada ahli-ahli pasukanku sebelum mereka bersurai. Bersemangat sungguh mereka. Baguslah kalau begitu. Mudah-mudahan, berkekalanlah semangat itu hingga ke hari sukan universiti nanti.
Aku menuju ke bilik persalinan untuk menukar pakaian. Kira-kira lima belas minit kemudian, aku melangkah keluar menuju ke arah keretaku pula. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Aku meraba-raba beg sandangku dan pantas menjawab panggilan.
“Apasal lambat sangat angkat? Berkali-kali mak telefon tadi. Pergi mana?” suara emakku kedengaran cemas.
“Alah mak ni, janganlah risau sangat. Qis ada latihan bola jaring tadi. Manalah Qis tahu mak nak telefon. Lagipun handset ni kat dalam beg. Mana nak dengar.” Balasku.
“Eh, budak ni. Sepatah kita tanya, berpatah-patah pulak dijawabnya. Kan mak dah cakap, telefon tu pegang. Sentiasa bawa ke mana-mana. Simpan dalam poket ke, apa ke. Kalau hilang dalam beg tu macam mana? Ha, lagi satu, kalau ada apa-apa hal mustahak, siapa nak jawab?” ibuku mula memberikan tazkirahnya hari itu. Aku yang sememangnya seorang anak yang taat, hanya mendengar butir bicaranya tanpa menjawab, apatah lagi membantah.
“Jadi, mak telefon ni ada hal pentinglah.” Aku menduga. Wanita berusia 40-an dihujung talian itu tidak menjawab soalanku. Aku mendengar suara emak berkata-kata dengan seseorang di hujung sana. Tidak pasti pula suara siapa.
“Ha, Qis. Dengar sini. Mak ada berita nak bagitahu ni. Tadi, nenek dan atuk datang. Mereka cakap, ada orang nak datang merisik Qis. Minggu depan keluarga lelaki tu nak datang. Balik ya, Qis. Nanti mak suruh ayah jemput.” Girang sungguh Puan Zuraidah menyampaikan berita itu kepadaku. Terdiam aku dibuatnya. Bagai nak tercabut jantung pun ada juga. Merisik? Biar betul mak ni…
“Siapa orang tu mak?” aku mencubit pipiku serta merta. Berkali-kali juga aku menepuk-nepuk bibirku. Lain yang hendak ditanya, lain pula yang keluar.
“Mak lupalah siapa nama dia. Tapi atuk kau cakap, budak tu baik orangnya. Belajar lagi dekat Mesir.” Jelas ibuku.
“Belajar lagi? Macam mana nak kahwin kalau dua-dua belajar? Mak ni, nak cari menantu pun, carilah yang dah berduit.” Sengaja ku mencari alasan. Munasabah ke, munasarawak ke, peduli apa aku. Yang penting, hasrat suci dan murni emakku itu harus kutolak sehalus yang mungkin.
“Kau tak payah susah-susah nak fikir pasal tu. Bidang perubatan tu dah besar peluangnya kat Malaysia ni. Lagipun, budak lelaki tu habis belajar hujung tahun ni. Sekali dengan kau. Ha, elok sangatlah tu.” Emak masih lagi berusaha memancingku.
Aku kalut dan serba-salah. Mundar-mandir aku berjalan di sekitar kompleks sukan itu. Sesekali aku mengesat manik-manik jernih yang mengalir pada wajahku dengan sapu tangan. Aku buntu sekarang. Ikutkan hati, mahu sahaja aku menjerit mengatakan tak nak. Biarlah orang nak kata macam iklan rokok tu. Aku tak peduli. Doktor ke, engineer ke, lawyer ke, pokok pangkalnya, aku belum bersedia lagi nak berkahwin sekarang.
Mak ni pun, kalau dah kemaruk sangat nak bermenantu, sabar-sabarlah sikit. Tak pasal-pasal aku yang jadi mangsa. Bukannya aku ni tak laku langsung. Nak suruh Syafiq kahwin dulu, dia tu lelaki. SPM pun tak lepas lagi. Ah, kusut betul. Lantaklah. Kalau budak lelaki tu ok, aku terima. Kalau tak, aku reject! Aku mengukir senyuman. Bagus jugak idea aku ni.
“Ye, mak. Qis kat sini lagi. Tak pergi mana pun.” Aku menyahut panggilan emakku yang berkali-kali itu.
“Ingatkan dah letak tadi. Habis tu, Qis macam mana?” soal emak lembut. Aku dapat merasakan harapan wanita kesayanganku itu amat tinggi terhadapku.
“Hm, yelah mak. Minggu depan Qis balik. Tapi mak tak payahlah suruh ayah jemput. Qis balik naik komuter je.” Akhirnya satu keputusan yang amat berat aku luahkan.
Emak gembira mendengar kata-kataku. Aku tersenyum pahit. Sedikit sebanyak, apa yang menggembirakan wanita itu, itulah yang menggembirakanku. Biarpun hakikatnya bukan begitu. Selepas memberikan salam, aku mematikan talian lantas mencapai beg sandangku. Saat ingin melangkah masuk ke dalam kereta, tiba-tiba mataku tertancap pula pada sekeping kad yang terselit di hadapan cermin kereta.
‘Untukmu si kuning yang ceria, seharian sudah aku memerhatikanmu. Aksimu di gelanggang tadi sungguh lincah dan bertenaga. Tidak hairan rasanya jika kau mampu mengekalkan kejuaraan Violet tahun ini.’
Pengirim yang sama mengirimkan kad tersebut. Aku berfikir sejenak. Seharian dia perhatikan aku? Dasyatnya! Mataku sempat melilau sekeliling sebelum cepat-cepat masuk ke dalam kereta.
**********
“Hello, cik kak. Apa termenung lagi tu? Nak keluar ke tak nak ni?” aku menyergah Zura.
Gadis itu tersentak sedikit dan terkebil-kebil memandangku.
“Aku tengah berfikir sesuatulah.” Ujar Zura.
“Apa yang kau fikirkan? Kau bukannya ada masalah. Duit belanja melambak-lambak mak bapak kau bagi. Boyfriend pun tak ada. Apa yang kau nak susahkan lagi?” Nurul tiba-tiba menyampuk.
“Bukan tulah. Aku tengah fikirkan pasal kad yang Qis dapat tadi. Aku suspek seseoranglah.” Ujar gadis itu.
“Suspek? Siapa? Cakaplah cepat Zura. Siapa dia yang kau suspek tu?” Nurul lekas-lekas mendesak. Kalau bab-bab memaksa orang, serah sajalah padanya. Aku yang masih statik di tempatku berdiri tadi, hanya mampu mengangkatkan kening.
“Nak aku cakap ke?” Zura sengaja bermain tarik tali. Nurul pula masih merengek-rengek. Macam budak kecik je.
“Kalau nak cakap, cakaplah cepat. Kita dah lewat dah ni. Nanti teater muzikal tu habis, baru nak terngaga.” Ujarku seakan mengugutnya pula.
“Ok, la. Klu dia, lakonan. Cuba teka siapa student art and design yang Qis minat?” soal Zura.
“Lelaki ke perempuan?” soal Nurul pula.
“Lelaki la. Apa kejadahnya si Qis ni nak minat kat perempuan.” Jawab Zura selamba. Otakku ligat berfikir. Hah, aku dah tahu.
“Adi putra..!” ujarku dan Nurul serentak.
“No way.” Aku membantah.
“Why not? Kau kan memang minat dia.” Ujar Zura.
“Tak mungkin dia tahu. Kau ni merepaklah, Zura. Lagipun, orang tu bukannya bagitahu dia semester berapa. Kalau betul pun Adi Putra yang bagi, apa alasan dia?” ujarku kepadanya.
“Mungkin dia pun minat kau?” Nurul menyampuk.
“Apalah korang ni. Setakat kad macam tu, satu kampus ni pun boleh bagi kad sebiji macam tu kat aku tau. Dahlah, tak kuasa aku nak melayan sangkaan korang yang merepek-repek ni.” Ujarku lantas berjalan ke luar.
Zura dan Nurul mengekoriku.
“Ala, Qis. Kitorang gurau je. Kan aku kata tadi, aku suspek je. Bukan sahih pun apa aku cakap ni kan Nurul, kan?” Zura cuba melembutkan hatiku.
Aku melangkah ke dalam kereta tanpa mempedulikan kata-kata gadis itu. Dalam hatiku sebenarnya geli hati melihat telatahnya yang terkial-kial memujukku. Tulah, main-main lagi dengan aku.
**********
Hujung minggu itu seperti yang aku janjikan dengan emak, aku pulang juga ke rumah. Sampai di stesen komuter, adikku Syafiq sudah sedia menunggu. Dan hari ini, adalah hari yang sangat mendebarkan bagi aku. Berkali-kali aku merenung wajahku di hadapan cermin. Dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki. Hm, nak kata gemuk tak. Nak kata kurus pun tak. Kulit, kulit melayu. Muka pun muka melayu. Nak kata cantik, mestilah. Kalau tak, takkan ada orang yang sudi merisik aku ni. Bicaraku sendirian. Entah bila masanya emak masuk ke bilikku, aku langsung tak sedar.
“Dah siap ke belum? Kenapa tak pakai tudung lagi ni? Mari sini mak sikatkan rambut tu.” Emak menarik lenganku. Aku hanya menurut bak anak kecil. Lama sungguh aku tidak merasa belaian sebegini. Terasa seperti kembali ke alam sekolah rendah dulu pula.
*****
“Qis, Qis tahu tak, hubungan kita sesama manusia ni, macam sikat dengan rambut tau.” Kata-kata emak suatu ketika dahulu terngiang-ngiang ditelingaku.
“Macam mana tu mak?” aku yang baru berumur sebelas tahun waktu itu langsung tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh emak. Wanita itu tekun menyisir rambutku sambil menerangkan maksud kata-katanya tadi.
“Kalau rambut kusut, apa yang kita guna untuk buat dia lurus?” soal emak kepadaku.
“Sikat.” Jawabku sepatah.
“Macam mana pula nak luruskan rambut tu dengan sikat?” soal emak lagi.
“Sikat elok-elok, mesti rambut tu lurus punya.” Lancar sahaja aku menjawab. Aku menoleh. Emak tersenyum memandangku.
“Qis tahu apa kena mengenanya sikat tu dengan manusia?” soalan itu membuatkan aku terdiam.
Aku mengeleng sebagai jawapan.
“Sikat tu adalah kita. Rambut pula orang-orang disekeliling kita ni. Antara sikat dengan rambut, siapa yang meluruskan siapa?” soal emakku.
“Sikatlah.”
“Antara kita dengan orang disekeliling kita pula?”
“Kitalah, mak.” Aku menjawab lagi.
Emak tersenyum memandangku.
“Pandainya anak emak ni.” Wanita itu lantas memelukku.
*****
“Adoi, mak tarik kuat sangat. Sakitlah.” Tersentak aku dari lamunan apabila emak menyanggul rambutku dengan kuat.
“Diam-diamlah. Rambut kau kan tebal. Mak kenalah ikat kuat-kuat. Kalau tidak kang, terburai pula.” Emak memarahiku.
“Apalagi dua beranak ni. Zu, cepatlah, tetamu kita dah sampai dah.” Ayahku Amran muncul di muka pintu.
“ Dah sampai? Ha, Qis, cepat sikit siap tu. Nanti buatkan air dan bawa ke depan ya.” Ujar emakku sebelum keluar.
Aku hanya mengangguk. Baju kurung yang kupakai, kukemaskan sebentar. Tudung yang sedia tergantung di dalam almari kucapai lalu aku menapak keluar perlahan-lahan.
Puan Syakirah dan Encik Adnan. Begitulah nama yang diperkenalkan kepadaku. Meskipun kedatangan merisik ini hanya didatangi oleh pasangan suami isteri itu sahaja, namun emak dan ayahku begitu mesra dengan mereka. Seolah-olah mereka sudah kenal berpuluh-puluh tahun. Aku pula hanya berkepit di sebelah ayahku sehinggalah Puan Syakirah memanggilku datang kepadanya.
“Qis, inilah anak mak cik.” Puan Syakirah mengeluarkan beberapa keping gambar dan menunjukkannya kepadaku.
Aku melihat gambar tersebut satu persatu.
“Inikah orangnya?” Bisik hatiku.
Ini ke calon yang mak berkenan tu? Biar betul mak ni. Kalau ye pun, carilah yang cerah sikit mak. Ini, nak kata Hindustan, tidak. Nak kata cina, jauh sekali. Badannya berisi pulak tu. Kalau Zura dan Nurul yang melihat gambar ni, mesti puas mereka menahan gelak agaknya. Tetapi, dua kali pandang, boleh tahan juga lelaki ni. Air mukanya nampak tenang sahaja. Penuntut Al-Azhar lah katakan...
“Jangan tenung lama-lama, Qis. Nanti jatuh sayang.” Encik Adnan mengusikku.
Aku tersedar dari lamunan singkatku tadi. Gambar-gambar tersebut segera ku kembalikan kepada Puan Syakirah. Wanita itu memandangku dengan lembut dan penuh kasih sayang.
“Macam mana Qis?” soal ayahku.
Aku tidak memberikan sebarang respon. Senyum tidak, masam pun tidak. Macam mana nak cakap ni. Tak kan sampai hati aku nak cakap perkataan ‘tak nak’ tu? Aku membalas pandangan Puan Syakirah.
“Boleh Qis tahu siapa nama dia?” akhirnya itulah ayat pertama yang keluar dari mulutku. Puan Syakirah, Encik Adnan dan ayahku sedikit tercengang dengan soalan yang kuajukan itu. Emakku pula tersenyum simpul.
“Awak, tak bagitahu Qis ke?” ayah menyoal emakku.
“Saya kenal sangat anak dara saya ni. Sengaja saya tak bagitahu dia. Kalau dia bertanya pasal anak kak Syakirah, itu tandanya dia dah suka. Bila dia dah suka, itu tandanya dia dah setuju.” Ujar emakku diikuti dengan senyuman daripada ayahku dan pasangan suami isteri tersebut.
Mak? bila masa pula Qis cakap yang Qis setuju? Tuhanku, tenangkanlah hatiku. Yakinkanlah bahawa lelaki ini adalah insan terbaik untukku. Aku tidak sanggup untuk menolak lamaran ini sekaligus menghancurkan hati ibu dan hati keluarga lelaki ini. Andai dia adalah jodoh yang Kau ciptakan untukku, aku redha menerimanya. Mudah-mudahan, dialah yang terbaik untukku… Aku sempat bertawakal seketika.
“Betul ke Qis setuju?” soal Puan Syakirah kepadaku.
Aku hanya tersenyum sambil memandang semua wajah di ruang tamu itu. Dan senyumanku itu akhirnya membuatkan Puan Syakirah dan emakku memelukku hampir serentak. Kini, jari manisku sudahpun tersemat sebentuk cincin tanda. Kira-kira sebulan lagi, bertunanglah aku.
**********
“What? Bulan depan? Oh, cik Balqis binti Amran, kau jangan nak buat lawak April Fool dengan aku. 1 April baru je lepas hari tu. Hari ni 7 April tahu tak, 7 April.” Nurul langsung tidak percaya dengan kenyataan yang aku luahkan kepadanya sebentar tadi. Zura pula tidak berkelip-kelip matanya mendengar ceritaku. Hasrat kami yang pada mulanya ingin mengulang kaji di perpustakaan tersebut bertukar agenda pula apabila aku memberitahu mereka tentang lamaran yang aku terima hari itu.
“Hei, kau ingat aku tak reti tengok tarikh ke? Aku tahulah hari ni 7 haribulan, tapi pasal aku nak bertunang tu, bukannya lawak April Fool tau. Kau ingat aku tak ada profession lain ke selain nak melawak dengan kau?” balasku geram. Kenapalah diorang ni susah sangat nak percaya? Muka suci macam aku ni takkan nak menipu pulak?
“Oo… maknanya, masa kau balik kampung hari tu, ada orang datang merisik kaulah ye?” soal Zura.
“Ha, pandai pun.” Ujarku pula.
“Tapi, bukan ke dulu kau pernah cakap yang kau takkan kahwin selagi kau tak genggam segulung ijazah? Mana janji-janji manis kau tu, ha?” Nurul masih tidak berpuas hati denganku.
“Oi, cik adik. Aku dah tunang ke? Dah kahwin ke? Belum kan? Jadi, tak timbul soal aku kahwin sekarang ni. Lepas aku habis belajar nanti, barulah aku nak fikirkan pasal benda-benda tu semua. Bukan sekarang. Faham?” Nurul tercengang apabila aku mendekatkan wajahku dengan wajahnya beberapa inci sahaja. Gadis itu mengangguk berkali-kali tanda mengerti.
“Nasib baik kau faham, kalau tidak…”
“Maaf, tolong senyap sikit. Ni perpustakaan, bukan pasar raya.” Seorang petugas perpustakaan di situ tiba-tiba memotong percakapanku. Zura dan Nurul tertawa melihat air mukaku yang pastinya berubah kemerahan. Memalukan sungguh.
**********
Malam itu, sewaktu di rumah sewaku, mereka berdua sungguh galak bertanya itu dan ini pasal bakal tunangku itu. Tambahan pula apabila aku menunjukkan gambar si dia kepada mereka, hah, memang aku dah agak reaksi diorang tu.
“Not bad. Taklah handsome sangat. Tapi nampak alim.” ujar Zura seraya menghenyakkan dirinya di atas sofa di ruang tamu. Gambar yang kusuakan kepadanya tadi ditatap berkali-kali.
“Maknanya, handsome lagi lah Ustaz Hanafi aku tu.” Nurul pula menyampuk. Milo panas yang baru dibancuhnya dihirup perlahan.
“Iyalah tu, Nurul. Tak ke mana perginya dengan rupa paras tu. Kalau korang nak tahu, selagi aku tak tengok orang yang sebenar, takkan aku percaya dengan gambar tu. Entah orang lain ke, apa ke? Manalah tahu.” Ujarku sambil menekan-nekan punat alat kawalan jauh televisyen. Entah apa-apa program yang disiarkan, tak menarik perhatian langsung.
“Ish, kau ni. takkanlah bakal mak mertua kau tu nak tipu pulak.” Ujar Nurul kepadaku.
“Eh, Nurul. Nampaknya, tak lama lagi bertudung labuhlah kawan kita ni. Dapat Sheikh dari Mesir.” Zura mengusikku.
“Hai, tak cukup labuh ke tudung aku sekarang ni?” ujarku perlahan.
Tiba-tiba gadis itu bangun mendapatkan Nurul.
“Eh, cuba kau tengok. Muka lelaki ni ada iras siapa kau agak? Cuba teka?” soal gadis itu kepada Nurul.
“Erm, siapa ye? Ayah aku kot?” ujar Nurul bersahaja.
“Ish kau ni. Tengoklah betul-betul. Ada macam Adi Putra, kan?” ujar Zura bersungguh-sungguh.
“Adi Putra? Kau ni buat lawak ke apa, Zura? Tak nampak ke macam langit dengan bumi diorang ni? Eh, Qis. Siapa nama bakal tunang kau ni? Aku lupalah.” Ujar Nurul sambil menggaru-garukan kepalanya.
Aku bangun dan merampas gambar tersebut dari mereka. Kurang asam. Nak kutuk bakal tunang aku pun agak-agaklah sikit.
“Alah kau tu nurul, asyik ingat Ustaz Hanafi je, mana nak ingat nama orang lain. Sekali lagi aku bagitahu. Nama dia Abdul Hakim bin Adnan. Ingat betul-betul. Abdul Hakim bin Adnan. Lepas ni kalau kau tanya lagi, siaplah.” Ujarku lalu menapak masuk ke dalam bilik. Sebaik sahaja aku menutup pintu, sepantas kilat aku melompat ke atas katil.
“Betul ke gambar Hakim ni iras Adi Putra? Merepek je Zura ni. Adi Putra tu punyalah putih melepak. Jauh betul bezanya dengan bakal tunang aku ni. Cermin mata Zura tu nak kena tambah power kot?” ujarku sendirian. Gambar itu kutatap berulang kali.
“Mungkin muka dia lebar sikit tak? Tak pun sebab dia pakai jubah dengan serban ni? Ah, lantaklah. Menyesakkan kepala otak aku je fikir pasal benda ni. Bukannya penting pun.” Aku mencampakkan gambar tersebut ke bawah. Kad ucapan misteri yang ketiga kuterima petang tadi, kutatap kembali.
‘Untuk si jingga oren. Secerah mentari, dirimu kelihatan ceria hari ini. Ada sesuatu yang menggembirakanmu? Teruskanlah hidupmu dengan perasaan itu. Semoga berbahagia.’
Aku tersenyum. Pandai pula mulakan mukadimah dengan sebut warna baju yang aku pakai saban hari. Siapa agaknya yang bagi kad ni ya? Kalau aku bagitahu Zura dengan Nurul, mesti sewel kawan aku berdua tu. Mentang-mentanglah bakal jadi peguam, asyik nak suspek orang je. Lepas tu, mesti Adi Putra yang jadi mangsa suspek diorang. Hai, kesian budak kecik tu. Macamlah tak ada student art and designer lain yang diorang nak syak. Balik-balik dia, balik-balik dia.
Seingat akulah, kali terakhir aku tengok Adi Putra tu, ialah pada malam pementasan teater muzikal beberapa hari yang lalu. Pementasan teater dialah tu. Sebab tu aku beria-ia nak pergi tengok. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ni, selalu sangat aku fikir pasal dia. Apa tidaknya, pelajar semester tiga itu aktor terbaik UIA ni. Kacak pula tu. Walaupun dia tu junior, tapi aku yakin, bukan aku sahaja yang meminatinya.
Ha, berbalik kepada kad misteri tadi. Rasanya, macam tak patut je aku suspek dia. Yelah, bukan dia sahaja yang ambil kursus art and designer tu. Entah-entah senior dia ke yang bagi? Atau budak-budak perempuan bacth dia yang berminat dengan aku ke? Siapa tahu. Hehe, perasan!
Aku terus mengelamun jauh. Bermacam-macam andaian yang kubuat. Nampaknya, tugasan yang diberikan oleh pensyarah tadi terpaksalah aku tangguhkan esok. Mata yang kutahan sejak tadi akhirnya tertutup juga.
**********
Majlis pertunangan yang diadakan di rumahku, berjalan dengan sempurna. Selepas sebulan berlalu, aku kini bergelar tunang kepada Hakim. Cincin belah rotan yang disarungkan oleh Puan Syakirah dijari manisku tadi, kubelek berkali-kali. Kini, aku berseorangan di dalam bilik. Sebilangan tetamu, masih lagi sedang menjamu selera. Emak dan ayahku pula, pastinya merupakan insan yang paling sibuk hari ini.
Pintu bilikku tiba-tiba diketuk. Emak dan Puan Syakirah muncul di depan pintu. Sebuah telefon bimbit disuakan kepadaku. Aku pelik. Hai, takkan nak tambah handset aku lagi satu kot?
“Hakim telefon. Dia nak cakap dengan Qis.” Ujar Puan Syakirah ringkas.
Jantungku tiba-tiba terasa bagai nak tercabut. Panggilan dari Hakim? Dari tunangku…!
Huluran itu kusambut perlahan. Kontra sekali dengan debaran dalam hatiku. Sejurus kemudian, emak dan Puan Syakirah hilang dari pandangan. Aku menelan liur berkali-kali.
“Assalamualaikum…” itulah perkataan pertama yang keluar dari mulutku.
Suara dihujung talian, menjawab salam itu.
Aku memejamkan mata seketika.
“Balqis…” panggil suara itu.
Aku menyahut perlahan.
“Abang nak ucapkan terima kasih sebab Balqis sudi terima lamaran abang.” Ujar Hakim dihujung talian.
‘Abang? Balqis?’ aku sedikit kekok mendengar panggilan itu.
“Em, abang. Panggil Qis sajalah.” Ujarku.
“Okey.” Balasnya ringkas.
Aku masih lagi kelu untuk berbicara. Apa nak cakap ni? Nak tanya tengah buat apa? Waktu di sana siang ke malam? Bil telefon mahal tak? Ah, macam mana ni…? Aku menggaru-garukan kepalaku yang masih lagi dilitupi tudung sifon yang kupakai semasa majlis pertunangan tadi.
“Qis, abang tak tahu macam mana nak cakap. Sebenarnya, dah lama abang nak risik Qis. Cuma abang tengah tunggu masa yang sesuai je untuk sampaikan kepada mak abang.” Ujar Hakim perlahan.
Dah lama? Aku akhirnya cuba mengagahkan suaraku untuk keluar.
“Abang dah lama tahu pasal Qis? Sejak bila?” soalku hairan.
“Adalah dalam setahun lebih.” Balas lelaki itu.
“Setahun? Tapi Qis baru je kenal abang sebulan.” Balasku agak berani.
Aku terdengar lelaki itu ketawa.
“Berani sungguh Qis terima lamaran orang yang baru Qis kenal ye?”
Aku terkelu seketika. Hah, dapat idea!
“Yelah, Qis kesiankan abang. Merisik dari jauh. Tak sampai hati pula nak tolak.” Aku meng’cover’kan diri. Malu sungguh rasanya. Nasib baik lelaki itu tiada di depan mata.
“Alah, mengaku sajalah, Qis sebenarnya kesiankan abang, kan? Yelah, abang ni tak handsome. Kalau Qis tak terima abang, siapa lagi? Betul tak?” Hakim bersuara perlahan.
“Eh, abang jangan salah faham. Qis tak bermaksud macam tu pun.” Balasku.
“Qis, abang mungkin tak setampan atau sekacak lelaki yang pernah Qis kenal sebelum ni, tapi satu yang abang jamin, selagi Qis menjadi sayap kiri abang, abang akan pandu hidup Qis sebaik mungkin. Kita akan bersama-sama memikul amanah yang Allah berikan kepada kita sebagai khalifah di muka bumi ini.” Bicara pemuda itu mula menarik hatiku.
“Abang, bila Qis terima abang, bermakna Qis menerima buruk baik abang. Andai itu jaminan yang abang berikan, Qis bersedia pikul amanah tu.” Ujarku pula.
“Qis, sebenarnya, abang ni handsome tau.” Ujar lelaki itu tiba-tiba.
Hai? Cepat betul berubah mood dia. Aku ketawa seketika.
“Abang tak cakap pun Qis tahu.” Balasku. Kini, aku benar-benar bukakan hatiku untuknya.
“Tipulah, Qis mana pernah jumpa abang.” Ujarnya lagi.
“Pernah, dalam mimpi.”
“Iyalah tu. Nanti Qis tunggu abang balik. Jangan sampai pengsan tengok abang, sudahlah ye.” Ujar Hakim lagi.
“Pengsan? Qis rasa muka abang ni mesti lain daripada yang lain sampaikan boleh buat orang pengsan, kan?” aku memberanikan diri mengusiknya pula.
Hakim ketawa lagi.
Hatiku mula berbunga. Terasa bahagia berada di depan mata sahaja.
Ya, Allah, mudah-mudahan, dialah insan terbaik buatku. Balqis, lupakan semua harta, rupa dan pangkat yang didambakan duniawi. Rasulullah sendiri menikahi puterinya Fatimah dengan Ali lantaran ketaqwaannya yang paling tinggi meskipun pemuda itulah pemuda yang paling miskin. Aku sempat lagi mengelamun.
“Abang, sudahlah tu. Tak habis-habis nak buat Qis malu.” Ujarku apabila lelaki itu pula yang semakin berani mengusikku.
“Tak apalah, sekali-sekala. Abang pun bukannya nak buat apa malam-malam macam ni.” balas Hakim.
Malam? Oh, lupa pula dia dan aku berbeza waktu ketika ini.
“Tak kisahlah malam ke, siang ke. Duit abang tu, nanti bertimbun-timbun pula buat panggilan jauh-jauh ni.” ujarku.
“Abang pakai internet. Tak kena bayar pun. Tapi, tak apalah, memang tak elok pun cakap lama-lama. Tak lelap tidur pula abang nanti.” Usik pemuda itu lagi.
“Ha, tahu tak pe. Lain kali, kita emel la pulak, YM ke, sms ke. Boleh kan?”
“Boleh. Tapi kalau sesekali abang nak dengar suara Qis pun boleh kan?” usiknya.
Aku ketawa perlahan.
“Boleh. Tak ada salahnya pun.” Balasku.
“Kalau macam tu, lain kali abang telefon lagilah. Sebenarnya, abang tengah sibuk dengan imtihan sekarang ni. Kalau abang tak dapat nak telefon Qis selalu, faham-faham jelah ye.” Ujar Hakim lagi.
“Tak apa, Qis pun macam tu juga. Macam Qis cakap tadi, sms sepatah dua perkataan pun jadilah, kan.”
“Qis ni memang memahamilah. Insya-Allah, Qis janganlah risau. Jaga diri baik-baik ya. Jangan lupa doakan abang kat sini.”
“Insya-Allah. Abang pun doa-doakanlah Qis juga. Jaga diri.” Ujarku pula.
Aku menamatkan talian selepas menjawab salamnya. Pantas aku melangkah keluar dari bilik untuk memulangkan kembali telefon Puan Syakirah. Sebaik sahaja aku menguakkan pintu, Nurul dan Zura tercegat di hadapan pintu bilik itu sambil tersengih-sengih memandangku.
“Oo…korang curi-curi dengar ye?” provokku.
Kawan baikku berdua itu menayang muka selamba. Muka tak bersalah. Tiba-tiba, mereka berdua memelukku.
“Uih, romantiknya. Cemburu pula aku dengar.” Ujar Nurul girang.
Zura turut tersenyum simpul memandangku.
“Ish, tepilah. Aku nak cari mak cik Syakirah ni. Nampak dia tak?” soalku sambil tertinjau-tinjau mencari kelibat wanita itu.
“Ada kat depan. Pergilah. Lama mak mertua kau tu tunggu kau bergayut.” Zura pula mengusikku.
Aku berlalu meninggalkan mereka. Makin dilayan, makin teruk aku dikenakan.
**********
Seperti biasa, setiap hujung minggu, aku pasti akan menghabiskan masaku dengan menjalani latihan bola jaring di kompleks sukan Universiti Islam Antarabangsa itu. Jika sebelum ini aku sering pergi bersendirian, kini aku sering ditemani Zura. Dan aku tahu sebabnya.
“Okey, semua. Latihan hari ni, cukup sampai sini dulu. Nanti akak akan bincang dengan Puan Misha supaya kita boleh tetapkan satu hari untuk buat pemilihan bagi ahli baru Violet Team.” Ujarku selepas tamat menjalani latihan bola jaring kami hari itu.
“Bila tu kak Qis?” seorang juniorku bertanya.
“Maybe next week? Or maybe juga bila-bila masa yang akak dan Puan Misha rasakan sesuai. Nasihat akak, kamu semua bersedialah sebaik mungkin. Jaga kesihatan, jaga pemakanan. Dan yang paling penting, jaga stamina.” Nasihatku kepada mereka.
Para pelatih di hadapanku itu mengangguk-angguk. Aku tersenyum.
“Okey. Kita bersurai.” Serentak itu, mereka semua berpecah dan pulang mengikut haluan masing-masing.
Dan aku, seperti biasalah ke bilik persalinan. Di UIA ni, tak pernah sekali pun aku berjalan sekitar kampus dengan hanya berpakaian sukan semata-mata. Oleh itu, adalah wajib bagi diriku untuk manukar pakaian setiap kali tamat latihan.
Tatkala aku melangkah ke pintu masuk, bahuku tiba-tiba dilanggar dari belakang menyebabkan beg yang kusandang terjatuh. Si pelanggar itu pula, terus sahaja berjalan tanpa rasa bersalah.
“Aduh, kurang asam punya budak. Sengal bahu aku dibuatnya.” Ujarku sendirian.
Tiba-tiba, lelaki yang melanggar bahuku tadi berpatah balik dan lekas-lekas mengangkat beg sandangku. Nasib baik gentleman. Bisikku dalam hati. Selepas meminta maaf, tergesa-gesa lelaki itu berlalu. Tetapi sayangnya, aku tidak dapat mengecam wajahnya kerana aku leka mengusap-ngusap bahuku yang sangat-sangat sengal itu. Tambahan pula, ‘cap’ yang dipakainya itu menghalang sedikit penglihatanku. Cuma susuk tubuhnya yang tegap itu seperti pernah kulihat sahaja. Tapi dimana ya?
Sesudah menyalin pakaian, aku berjalan kaki sahaja menuju ke padang bola sepak yang terletak bersebelahan dengan kompleks sukan itu. Dari jauh lagi aku dapat melihat Zura sedang duduk di bangku tepi padang. Kusyuk sangat melihat ke arah padang bola sepak, sampaikan langsung tidak menyedari kehadiranku.
“Zura, jom balik. Nurul dah tunggu dah.” Panggilku setelah agak hampir dengan gadis itu.
Zura bangun dan mendapatkan ku.
“Kejap lagilah, Qis. Aiman tak habis training lagi ni.” ujar Zura.
Aku menoleh ke padang. Pasukan bola sepak Knight FC, UIA, sedang giat menjalani latihan mereka. Masing-masing mahu mengekalkan rekod kejuaraan dalam karnival sukan universiti yang bakal berlangsung nanti. Dan salah seorang daripada ahli pasukan tersebut, ialah Aiman, penyumbang gol terbanyak merangkap ‘striker’ dan kapten kepada pasukan tersebut.
Aku tidak tahu sejak bila Zura sudah pandai dalam bab-bab cinta ni. Mungkin, salah satu subjek yang diambil bagi semester ini agaknya. Dalam diam, tahu-tahu saja dah ‘declare’ dengan pemain bola sepak handalan tu. Tapi aku tak kisah sangat, sebab aku tahu Aiman tu baik orangnya. Sering juga aku terserempak dengan dia di masjid sewaktu aku menjalani aktiviti usrah dan sebagainya. Sebab itulah, aku merestui hubungan mereka. Chewah…
“Aiman.” Laungku ke tengah padang.
Lelaki itu menoleh.
“Sini kejap. Ada hal nak cakap.” Aku menggamitnya.
Dia berlari-lari anak ke arah kami berdua.
“Yup, apahal?” soalnya kepadaku. Tetapi matanya, faham-faham sajalah ke mana.
“Aku nak bawa Zura balik ni. Nurul pun dah lama tunggu kitorang dekat kafeteria. So, kau ada apa-apa plan ke?” aku seakan meminta izin pula darinya.
Aiman hanya mengeleng.
“Zura pergilah. Malam nanti, macam biasa Man telefon.” Ujar pemuda itu kepada kekasihnya.
“Okey. Zura pergi, ya. Kalau ada apa-apa bagitahu Zura tau.” Ujar Zura manja.
Aku berpura-pura memandang ke arah lain. Saja buat-buat tak dengar perbualan pasangan itu. Romantis sungguh. Aku yang dah bertunang ni pun, tak adalah sampai macam tu sekali.
Ha, itulah sebabnya mengapa Zura tu rajin sangat nak ikut aku pergi berlatih setiap minggu. Bukannya nak temankan aku, tetapi nak temankan si jantung hati sebenarnya. Sebaik sahaja aku memakir keretaku di hadapan kafeteria, aku sudah dapat melihat Nurul melambai-lambaikan tangannya ke arah kami berdua. Gadis itu pula lain ceritanya. Tak sangka betul aku, Ustaz Hanafi, pensyarah subjek syari’ahnya itu, akhirnya melamar dia. Ternganga aku mendengar berita itu.
Tapi uniknya mereka berdua ni, sekejap bergaduh, sekejap baik semula. Tak macam pasangan kekasih langsung. Nasib baik Ustaz Hanafi tu penyabar orangnya. Kalau orang lain, confirm kawan aku tu kena tinggal. Yelah, anginnya bukan semacam. Tapi bermacam-macam. Dialah yang selalu menjadi punca masalah. Hai, Nurul, Nurul…
“Sorry, lambat. Dah lama tunggu?” soalku sebaik menghampiri gadis itu.
Zura sempat menanyakan air minuman yang kumahu sebelum dia pergi ke kaunter kafe. Nurul pula tersenyum sambil menolak sebuah komputer riba betul-betul di hadapanku.
“Taklah lama sangat. Hah, ada emel dari sheikh al-azhar kau.” dia memberitahu.
“Yeke? Dah lama dia hantar?” soalku.
“Baru lagi. Balaslah cepat. Mesti dia ingat kau yang tengah online tadi.” Ujar gadis itu.
“Itulah, siapa suruh kau pakai emel aku.”
Jari-jemariku laju sahaja membalas emel kepada Hakim. Sejak kami bertunang beberapa bulan yang lalu, hanya internet sahajalah yang menghubungkan kami. Setakat ni, belum pernah lagi aku berkesempatan untuk bertentang mata dengannya. Kalau ada pun, sekadar melihat-lihat di ‘friendster’ atau ‘facebook’nya. Apa yang best sangat? Sama saja dengan gambar yang ada dalam simpanan aku ni. Nak buat panggilan video pun satu hal. Kalau dia free, aku yang sibuk. Kalau aku free, dia pula yang sibuk. Tambahan pula, kos sara hudup di sana agak tinggi. Jadi aku cuba belajar memahami situasinya di sana. Tak kisahlah, yang penting, aku kini semakin mengenali hati budinya dan semakin memahami caranya. Bagi aku, inilah cara untuk mengenali pasangan dengan sebaik-baiknya. Tanpa berjumpa, bercakap atau melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan maksiat, tak bermakna sesuatu hubungan itu tidak boleh terjalin.
Dan sekarang juga baru aku tahu kenapa Hakim mengambil masa yang begitu lama belajar di Mesir sana. Rupa-rupanya, segulung ijazah kedoktoran sudah lama berada dalam genggamannya. Dan tidak lama lagi, dia bakal menamatkan master pula. Fuh, ternganga kawan baikku berdua itu mendengar kehebatannya. Aku pula, apa lagi? Kembang-kuncuplah dalam hati. Dapat bakal suami seorang doktor.
Zura datang membawa segelas milo ais untukku dan segelas lagi untuknya. Mereka berdua berbincang tentang tugasan yang diberi oleh pensyarah mereka. Manakala aku, menyiapkan tugasanku sendirian disamping membalas emel daripada Hakim. Masing-masing tekun dengan hal sendiri. Barulah belajar namanya.
Kafeteria yang lengang tadi tiba-tiba bertukar suasana apabila sekumpulan mahasiswa entah dari kursus apa, tiba-tiba sahaja masuk. Mereka mengambil tempat betul-betul di sebelah meja kami. Kalau bercakap dengan perlahan, tak apa juga. Ini macam nak bagitahu satu kampus yang diorang duduk dekat kafe tu.
Aku memandang Nurul. Seperti yang kujangka, gadis yang sememangnya mudah naik angin itu mula diserang gelisah. Gadis itu kelihatan tidak tenteram menyiapkan tugasannya. Manakala aku dan Zura, sengaja buat-buat tak tahu dengan usikan-usikan nakal dari siswa-siswa yang kuanggar lebih kurang lima orang itu. Memalukan nama UIA je diorang ni. Bisikku.
Zura menyiku lenganku tiba-tiba.
“Apahal?” soalku geram. Orang tengah syok-syok balas emel, ada saja yang mengacau.
“Hero pujaan kau dah datang.” Ujar gadis itu.
“Hero? Bila masa pula aku ada hero pujaan ni?” soalku kembali.
“Ish, pandanglah sana. Dalam laptop tu mana nampak.” Zura menolak wajahku ke pintu masuk. Uish, senget mulut aku dibuatnya.
Adi Putra? Tercengang aku seketika. Pelajar yang kuminati itu masuk bersama beberapa orang kawannya. Mereka mengambil tempat selang beberapa meja dari kami. Namun lekas-lekas aku tunduk menghadap kerja-kerjaku kembali. Astaghfirullah, maksiat pandang lama-lama.
“Qis, tengok tu. Dia pandang sinilah.” Ujar Nurul pula.
Aku yang mula mahu menumpukan perhatian, secara spontan menoleh kembali. Aku lihat pemuda itu tersenyum ke arah kami. Kepada siapa? Aku pun tidak pasti. Harap-harap, akulah.
“Patutlah Qis ni mati-mati minat si Adi tu. Senyuman dia, tak boleh tahan.” Ujar Nurul kepada Zura.
Gelak ketawa mereka berdua membuatkan aku menjeling geram. Ish, suka hati akulah.
“Amboi, seronoknya korang. Gosip apa tu? Nak join boleh?” salah seorang pemuda di sebelah kami tiba-tiba bersuara.
Aku dan Zura buat tak tahu dengan teguran itu. Nurul pula sudah mula menunjukkan tanda-tanda gunung berapinya hendak meletus. Memang pantang gadis itu bila ada sesiapa yang cuba mengganggu kami. Baik lelaki, baik perempuan. Tidak hairanlah mengapa sebahagian pelajar yang agak nakal, tidak menjadikan kami sebagai mangsa. Apa tidaknya, pelatih terbaik silat cekak Hanafi ada di sini.
“Hek, eleh. Sombongnya. Ingat cantik sangatlah tu.” ujar pemuda yang lain pula.
“Hoi, kalau kitorang ingat kitorang cantik, ada masalah ke?” akhirnya gunung berapi Kilimanjaro meletus juga. Nurul berdiri memandang kumpulan mahasiswa itu sambil bercekak pinggang.
“Betullah cakap kau, Zack. Ada singa kat sini.” Pemuda yang ketiga pula menyampuk.
“Sabar Nurul, sabar.” Zura cuba menarik tangan gadis itu apabila melihat dia mahu ke hadapan lagi.
Merah padam wajah Nurul. Macam nak nangis pun ada juga. Kurang ajar. Berani kau cakap kawan aku macam tu. Aku pula naik geram dibuatnya. Tambah-tambah lagi bila melihat wajah Nurul begitu. Zura hampir sahaja bangun dari kerusinya. Namun hasrat gadis itu tiba-tiba terencat apabila pemuda pertama tadi terlebih dahulu menapak ke arah kami.
“Sorry. Kawan saya memang macam tu. You all marah ke?” soal pemuda itu.
Nurul masih lagi mencari sisa-sisa kesabarannya yang hilang sebentar tadi. Zura pula tak sudah-sudah menenangkan gadis itu. Nampaknya, akulah yang terpaksa bangun ni.
“It’s ok. I think she’s fine.” Ujarku perlahan.
Fine apa kebendanya? Rasa ringan je tangan aku ni naik ke muka kau, tahu? Tapi tak apalah. Biar manis dimulut. Kalau berperang kat kafeteria ni, lain macam jadinya nanti. Lagipun, aku ni perempuan. Banyak batas-batas yang aku kena jaga. Hatiku berbisik.
“Amboi, baiknya dia. Siapa nama ni? Boleh minta nombor telefon?”
Soalan pemuda itu membuatkan aku tersentak. Yang pastinya, mataku tajam memandang wajah lelaki yang tak tahu bersopan dengan perempuan itu. Harap muka je boleh tahan. Perangai macam setan. Memalukan diri sendiri, keluarga dan masyarakat je.
“Excuse me. Awak baru je minta maaf tadi, kan? Tak belajar tamadun ke? Tak tahu macam mana adab dalam pergaulan? Nak saya ajarkan, ha?” aku cuba menahan marahku.
“Kalau awak yang ajar, mestilah saya nak. Korang semua nak join tak? Peluang baik ni.” pemuda itu menoleh ke arah kawan-kawannya pula.
“Kurang ajar. Korang semua ni memang dah melampau.” Nurul tiba-tiba bangun kembali.
“Rileklah. Apasal angin sangat ni. Dia cuma nak ajar kitorang tamadun je. Takkan tu pun nak marah?” pemuda itu tiba-tiba menyentuh bahuku. Aku segera menepis. Berani sungguh dia buat begitu. Kalau ye pun, janganlah sentuh dekat bahu aku yang sengal tadi, sengal betul. Sakit tahu tak.
Dush! Satu tumbukan padu hinggap di wajah lelaki itu. Cayalah Nurul. Aku memujinya dalam hati. Bahuku yang masih sakit tadi kusentuh perlahan. Zura menarik tubuhku ke belakang. Nurul pula membawa barang-barang kami semua.
“Eh, nanti dulu. Nurul, kalau kau dekat sini, siapa pula yang tumbuk lelaki tadi tu?” soalku hairan.
“Itu ha. Hero junior kau sampai tepat pada masanya. Tak payah susah-susah aku nak jaga kau lagi.” Ujar Nurul sambil menunjuk ke arah kumpulan lelaki tadi.
Hero? Aku segera menoleh. Adi Putra sempat menunjukkan isyarat ‘peace’ kepadaku. Yang menghairankanku, pemuda-pemuda tadi langsung tidak melawan. Malah mereka terkocoh-kocoh meninggalkan kafe tersebut selepas menerima habuan pertama tadi.
**********
Aku menceritakan segala yang berlaku siang tadi kepada Hakim. Lama juga kami berchatting di internet. Berkali-kali dia berpesan kepadaku supaya menjaga diri sebaik-baiknya. Sifat penyayangnya begitu teserlah sekali.
“Qis, banyak cerita di Malaysia yang abang baca di internet. Macam-macam kes ada. Rogol, bunuh, rompak. Risau abang dibuatnya. Qis jagalah diri baik-baik, ya.” Bagitulah antara emel yang dihantarnya. Alahai, sayang juga dia padaku.
Selain tu, Hakim sempat juga menyarankan agar aku menyertai kelab seni mempertahankan diri di kampus. Katanya, penting bagi seorang gadis sepertiku untuk belajar seni-seni mempertahankan diri. Bahaya sekarang berada di mana-mana saja. Tambahnya lagi, kawan-kawan berbangsa asingnya di sana pun sudah mahir dengan seni silat cekak yang popular di Malaysia ni. Semuanya gara-gara dia yang memperkenalkan silat tersebut kepada mereka. Tak cukup dengan itu, ada pula seni mempertahankan diri orang Mesir yang dipelajari dari pensyarahnya. Hai, tujuh tahun lebih di sana. Tak hairanlah kalau dia buat semua tu. Bukan calang-calang orang rupanya bakal suami aku ni ya...
**********
Di suatu pagi dihujung minggu.
“Yuhuu, nak ke mana tu?” Nurul yang sedang bertenggek di atas buaian yang terletak di halaman rumah sewa kami, menegurku sebaik sahaja aku melangkah keluar.
“Mesyuarat naqibah. Lepas tu nak ke library sekejap. Zura mana? Tak nampak pun dari tadi?” soalku sambil meletakkan buku-buku dan failku di tempat duduk belakang kereta.
“Hm, pagi-pagi lagi Aiman dah curi dia. Katanya nak bawa jumpa bakal mak mertua.” Ujar Nurul selamba.
Aku tersenyum. Eloklah tu. Bercinta lama-lama nak buat apa? Menambahkan dosa je. Perasaan cinta remaja zaman sekarang ni bukannya boleh dilawan. Lagipun mengapa perlu dilawan perkara yang sudah menjadi fitrah? Ia cuma perlu dikawal. Disalurkan ke tempat yang betul. Supaya tidak melampau batas-batas yang telah ditetapkan Tuhan.
Aku teringat kata-kata salah seorang ahli usrahku.
“Kita seharusnya mengikat sesuatu hubungan itu dengan ikatan yang sah. Sekurang-kurangnya bertunanglah. Siapa kata bertunang tidak boleh berkenal-kenalan dengan pasangan kita? Islam menyuruh kita memilih pasangan yang sesuai dengan diri kita sebelum kita menikah. Dan waktu bertunanglah waktu yang sebaik-baiknya.”
Aku tersenyum sambil memanaskan enjin keretaku.
“Tak lama lagi, merasalah kita makan nasi minyak diorang berdua tu, kan? Kau pula bila lagi?” soalku.
Air muka gadis itu berubah tiba-tiba. Walaupun gadis di hadapanku ini berpasangan dengan seorang ustaz, aku sebenarnya tidak pasti bagaimana perjalanan cinta mereka. Hendak bertanya, takut dikata ‘busy body’ pula.
“Nurul, kenapa tiba-tiba monyok ni? Aku salah cakap ke?” soalku perlahan.
Nurul mengelengkan kepalanya.
“Entahlah, Qis. Kadang-kadang aku sendiri tak faham perangai Hanafi tu. Aku tengok, dia macam tak yakin je dengan cinta aku. Dia ingat aku main-main ke apa?” ujar Nurul perlahan.
Dari gaya percakapan dan nada suaranya, aku tahu, Nurul dan Ustaz Hanafi berkonflik lagi. Hasratku untuk pergi awal hari itu, terpaksalah kubatalkan. Ringan sahaja kakiku ini melangkah ke arahnya.
“What’s now? Bergaduh lagi?” soalku setelah duduk di sebelahnya.
“Ingat tak kejadian kat kafe hari tu?” soal Nurul.
Aku mengangguk perlahan.
“Mungkin kau tak perasan, kot. Tapi aku nampak dia ada dekat satu sudut dalam kafe tu. Agak terlindung sikit. Sebab tulah aku tak jadi nak belasah budak-budak yang kacau kita tu. Kalau tidak, kau mesti dah boleh agak apa yang aku nak buat, kan?” ujar gadis itu lagi.
“Betul ke? Habis tu, apa yang buat korang sampai bergaduh ni?” Aku menyoal lagi.
“Kau tahu? Malam tu, dia telefon. Dia kritik cara aku. Dia cakap dia tak suka aku terlampau berani macam tu. Apa yang terlampaunya? Aku tak buat apa pun.” Gadis itu meluahkan perasaannya.
“Janganlah cepat sangat nak marahkan dia. Cuba kau fikir, preview balik masa hari tu. Yang kau lawan cakap budak-budak tu tak melampau? Suara kau tinggi tau masa tu. Aku yakin dia mesti dengar.” Aku cuba menasihatkan dengan lembut.
“Alah, setakat tu saja, kan? Tak payahlah sampai nak bukak cerita-cerita lama. Salah silap aku yang lepas-lepas tu, habis semua dia ungkit. Aku rasa dia tu tak ada hati dekat akulah. Buat itu salah, buat ini salah. Dia ni ikhlas ke tidak sebenarnya?” Nurul membentak.
Aku mula mengaplikasikan ilmu yang kupelajari dalam bidang psikologi untuk membantu sahabatku itu. Belakang tubuhnya kuusap perlahan.
“Sabar Nurul. Selawat banyak-banyak. Kau terbawa-bawa dengan perasaan kau tu. Cuba kawal sikit.” Ujarku lagi.
Gadis itu perlahan-lahan melafazkan selawat. Aku juga, tidak mahulah dikatakan kedekut. Lalu aku turut meniru perbuatan Nurul itu dengan berselawat beberapa kali sebelum menyambung kembali.
“Nurul, soal ikhlas atau tidak, itu aku tak dapat nak jawab. Apa yang penting sekarang, kau tarik nafas dalam-dalam dan fikir apa yang aku nak ucapkan ni.” ujarku.
Nurul menarik nafasnya pula. Gadis itu nampak lebih tenang sekarang.
“Cuba kau fikir ya, Nurul. Bila kita mencintai seseorang, pasti kita inginkan yang terbaik untuk dia, kan? Kau rasa kenapa?” soalku.
“Kau ni, of course lah sebab kita cintakan dia.”
“That’s right, dear. Because we love each other. Kau sayangkan dia tak?”
“Mestilah.”
“Dia sayangkan kau tak?” aku menduganya lagi.
Gadis itu mengangkat bahunya.
“Kau tak pasti? Okey, biar aku buat kau pasti. Nurul, kalau kau nak tahu, itulah bukti yang dia sayangkan kau. Dia tak nak kau berperangai macam tu sebab dia nak jaga kau. Dia nak melindungi diri kau. Orang lelaki ni Nurul, kalau dia dah cinta, setianya tinggi bukan main. Dan cara dia ucapkan sayang, bukan dengan kata-kata. Tapi dengan perbuatan dia. Macam tulah.” Aku mentazkirah dirinya.
Gadis itu kelihatan seperti sedang berfikir. Sudah termakan dengan kata-kataku nampaknya.
“Aku nak tanya, pernah dia cakap ‘I love you’ dekat kau?” soalku kepadanya.
“Tak pernah kot.”
“Sebab dia tu ustaz. Mana main cakap orang putih.” Ujarku sambil ketawa. Sengaja hendak mengusik gadis itu. Sedangkan aku sendiri tahu, pensyarah di UIA ni, semuanya lidah arab dan lidah mat saleh. Baik ustaz, baik ustazah. Semuanya hebat-hebat belaka. Nurul tersenyum memandangku.
“Dan satu lagi. Dalam percintaan ni, kita kena jadi sikat. Ingat lagi apa yang aku cakap dekat kau pasal sikat dulu?” soalku kepadanya.
Nurul mengangguk berkali-kali.
“Kau ni, Qis. Kalau bab-bab bercinta ni memang pakar betul.” Ujar gadis itu.
“Well, biasalah. Aku kan doktor cinta.” Aku bergurau.
“Mana kau belajar benda-benda ni semua hah?” soal gadis itu sambil ketawa.
“Dalam kuliah.” Ujarku yang turut ketawa.
“Tak adalah. Ni semua teori ciptaan aku sendiri. Nak belajar bercinta pun, kadang-kadang kena pakai buku juga. Dahlah, jangan sedih-sedih lagi. Aku pun dah terlambat ni. Pergi dulu, okey.” Ujarku sambil bangun dari buaian tersebut.
Nurul tiba-tiba menarik tubuhku ke dalam dakapannya.
“Qis, terima kasih banyak-banyak. Aku tak tahu macam mana nak cakap yang aku sayang sangat dekat kau. Sayang sangat sangat sangat.” Ujarnya bersungguh-sungguh.
“Yelah, yelah. Aku tahu tu. Aku pun sayangkan kau jugak. Ni, dah mandi ke belum ni?” aku mengusiknya.
Gadis itu menolak tubuhku tiba-tiba.
“Eh, tolong sikit. Subuh-subuh lagi aku dah mandi, tau. Tak macam kau.”dia pula mengenakanku.
Aku mencuit pinggangnya. Gadis itu mengaduh kecil lalu dengan pantas dia berlari mengejarku. Cepat-cepat aku masuk ke dalam kereta. Tidak tahan mendengar bunyi ketukan bercermin keretaku yang bertalu-talu itu, aku akhirnya menurunkan sedikit cermin tersebut.
“Aku lupa nak bagitahu. Masa kau mandi tadi mak kau telefon. Katanya, kau dah lama tak call dia. Sibuk mengalahkan Perdana Menteri.” Nurul memberitahu. Sempat lagi memerli aku.
“Ya, Allah. Kesian mak. Minggu ni langsung aku tak telefon ke rumah. Thanks, Nurul. Nanti aku telefon mak aku balik.” Ujarku sambil memandu keluar dari perkarangan rumah.
“Jangan lupa telefon. Baik-baik jalan tu.” pesan Nurul.
“Yelah. Jaga diri, ya. Masak sedap-sedap. Aku balik tengah hari nanti.” Sempat lagi aku mengusiknya sebelum memecut keretaku menuju ke kampus.
**********
‘Untuk si hijau merimbun, aku rasa bersalah kerana menyakitimu. Maaf kerana terlanggar bahumu kelmarin. Harap ia semakin pulih.’
Itu merupakan kad misteri yang keempat kuterima. Ia terselit dicelah-celah buku rujukanku. Entah bila diletaknya, memang menjadi misteri.
“Jadi, yang melanggar bahu aku hari tu, dialah? Cis, rugi tak pandang betul-betul.” Ujarku sendirian.
Mujurlah aku berjalan kaki ke kuliah. Entah angin apa aku hari ni. Zura dan Nurul aku benarkan naik kereta. Sedangkan aku, sengaja menyusahkan diri sendiri dengan berjalan kaki. Mentang-mentanglah kelas aku tak padat hari ni. Tapi ada hikmahnya juga. Dalam perjalanan pulang tadi, terselak pula buku rujukan yang aku bawa bersama ke kelas. Tiba-tiba, ternampak pula kad ini terselit dicelah buku aku. Tak sia-sia juga aku berjalan kaki hari ni ya.
Sebaik sahaja aku melintasi teman rekreasi di hadapan kompleks sukan, aku terpandang sekumpulan pelajar sedang berkumpul di situ. Berdasarkan pakaian yang dipakai oleh mereka, aku tahu, mereka semua pasti ahli-ahli kelab taekwando di universiti yang popular dengan moto kelab mereka, ‘Kami Mementingkan Kualiti, Bukan Kuantiti.’ Heh, teringat pula aku kepada Zura, sejak berkasih dengan Aiman ni, selalu benar dia menyebut slogan tu. Sampaikan aku dengan Nurul pun dah hafal dan naik muak pula mendengarnya.
“Qis.” Sorang lelaki tiba-tiba memanggil namaku.
Aku tidak dapat mengecam lelaki itu kerana aku ini rabun jauh sebenarnya. Doktor suruh pakai cermin mata, tak mahu. Tapi suara tu macam kenal je.
“Oh, kau Aiman.” Ujarku.
Panjang umur. Baru teringatkan kau. Tiba-tiba muncul pula. bisikku sendirian.
“Training ke?” soalku.
“Lebih kuranglah. Kitorang baru nak warming up ni. Kau nak pergi mana?” soalnya kepadaku.
“Balik rumahlah.” Ujarku.
“Jalan kaki? Tak penat ke?” pemuda itu kelihatan terkejut.
Aku hanya tersenyum.
“Penat juga. Tapi saja nak exercise sekali sekala.”
“Oh, baguslah tu. Tapi, Zura pun jalan kaki juga ke? Mana dia?” pemuda itu bertanya lagi.
“Risau nampaknya? Ada ke kau nampak dia dengan aku sekarang ni? Mahunya dia dengan Nurul tu nak berjalan kaki panas-panas gini. Dia naik keretalah.” Ujarku sambil tersenyum.
“Aik, kereta siapa pula dia naik?”
“Kereta akulah, siapa lagi?”
“Kau kata kereta kau rosak?”
“Eh, bila masa aku cakap macam tu? Merepek je. Kau sihat ke tak sihat ni?” ujarku sambil ketawa.
Aiman menggaru-garu kepalanya sambil tersengih-sengih. Lucu benar wajah lelaki itu.
“Hah, kenapa kau panggil aku tadi? Saja nak buang masa aku?” aku bertanya kepadanya.
“Eh, lupa pula aku. Sebenarnya, aku nak bagi kau benda ni.” ujarnya sambil menghulurkan sekeping sampul surat kepadaku.
“Untuk aku? Dari siapa?” aku menyambut sampul surat itu dengan hairan.
“Top secret. Sorry, aku tak boleh bagitahu. Tapi, dia pakai tali pinggang hitam. Kau pandai-pandailah cari sendiri. Blah dulu.” Aiman tergesa-gesa pergi dari situ tanpa sempat aku bertanya dengan lebih lanjut.
‘Memang nak kena Aiman ni. Zura, tak sangka boyfriend kau ni pun berpakat rupanya. Tapi tak apa. Sekurang-kurangnya aku dah ada gambaran tentang pengirim misteri ni. Sampul surat tersebut kutatap sebentar sebelum aku membukanya.
“Untuk si ungu yang manis, aku tidak tahu mengapa kau berjalan kaki hari ini. Walau apapun, berhati-hatilah, kerana aku akan sentiasa memerhatikanmu dan menjaga keselamatanmu.”
Aku tersenyum sendiri membaca kad tersebut. Sebelum melangkah pergi, sempat juga aku meninjau-ninjau ke arah kumpulan ahli taekwando tersebut. Manalah tahu kalau-kalau ternampak pula kelibat pemilik tali pinggang hitam antara mereka. Tetapi, mencari tanpa memakai cermin mataku, sia-sia sahajalah nampaknya. Takkan Aiman pula? Mustahil dia satu-satunya ahli yang memiliki tali pinggang hitam itu? Tak logik pula rasanya.
Aku meneruskan perjalanan. Hm, hari ni saja aku menerima dua keping kad misteri. Satu ‘belated’ kad. Dan satu lagi, kad yang baru kuterima sebentar tadi. Yang peliknya, reka bentuk dan corak kad yang kuterima selama ini, semuanya sama. Sebiji. Cuma warnanya saja yang berbeza. Entah berapa banyak stok yang pengirim tu ada pun aku tak tahu. Dia buat kilang percetakan agaknya.
Aku mengurut dada apabila telefon bimbitku berbunyi tiba-tiba. Terkejut aku. Apahal agaknya si Nurul ni? Bergaduh lagi ke? Sempat aku membuat andaian sebelum menjawab panggilan tersebut.
“Hoi, cik kak. Berjalan ke merangkak? Bila nak sampai rumah ni?” suara gadis itu menerpa cuping telingaku.
“Aku dalam perjalananlah ni. Panas tahu tak? Peluh aku ni dah berapa kali tersejat pun aku tak tahu.” Ujarku selamba.
“Ha, tulah. Yang menggatal sangat nak jalan kaki tu apasal? Ada kereta tak nak naik. Exercise konon.” Zura pula bersuara.
Ish, boleh pulak menyampuk-nyampuk. Ni mesti pakai loudspeaker. Habislah satu rumah bergema dengan suara aku.
“Bisinglah korang ni, macam mak nenek. Aku tak balik langsung nanti, baru tahu.” Sengaja aku menggertak mereka.
“Jangan nak mengada-ngada. Balik cepat, mak dah lama tunggu kau ni.” satu suara lagi menyampuk. Macam kenal.
“Mak? Bila mak sampai?” aku hampir-hampir melompat kegirangan.
“Adalah dalam sejam dua. Balik cepat. Mak cik Syakirah pun ada sekali kat sini.” Ujar emakku.
“Mak cik Syakirah? Ayah dengan pak cik Adnan pun ada ke?”
Ish, mak aku ni. Biar betul sikit. Kenapa tak cakap awal-awal nak datang. Rumah sewa aku tu dahlah tak serupa rumah. Bawa orang luar datang pula. Malulah aku macam ni.
“Taklah. Kami berdua je. Cepat balik. Mak ada hal nak cakap ni.” beritahu emakku lagi.
“Yelah, yelah. Sekejap lagi Qis sampai.” Ujarku lantas mematikan talian.
Tak de lainlah ni, mesti nak cakap pasal Hakim. Tak pun, pasal persiapan perkahwinan. Alahai mak ni. Mak tak tahu ke aku sibuk nak periksa sekarang? Takkan tak ada time lain, kot? Aku menambahkan kelajuan langkahku. Mujurlah aku pakai jubah seluar hari ni. Kalau tidak, terkedek-kedeklah aku melangkah agaknya.
**********
Seperti yang aku sangkakan, kehadiran mak dan Puan Syakirah, tak lain dan tak bukan, untuk berbincang tentang persiapan perkahwinanku dengan Hakim. Kedua-dua wanita itu membawa begitu banyak sekali katalog-katalog perkahwinan. Daripada hantaran, pelamin, baju pengantin, sampailah ke lokasi bulan madu. Tetapi yang paling teruja membuat pilihan, tentulah kawan baikku yang berdua tu. Segala-galanya cantik di mata mereka. Itu cantik, ini cantik. Naik pening kepalaku dibuatnya.
Akhirnya, keputusan muktamad telah kubuat. Urusan perkahwinan tersebut, kuserahkan sepenuhnya kepada emak dan Puan Syakirah dengan alasan, aku terlalu sibuk buat masa ni. Dengan assignment yang melimpah ruah, dengan peperiksaan tak lama lagi. Hampir mati aku dibuatnya. Aku cuma memberitahu mereka warna dan konsep yang aku mahukan dan selebihnya terpulanglah pada mereka untuk berbuat apa yang patut. Mujurlah emakku itu memahami orangnya.
“Mak, pasal cincin kahwin tu, kita tangguhkan dulu, boleh? Qis nak tunggu abang Hakim balik. Kalau mak dan mak cik Syakirah tak kisah, Qis pilih cincin tu sama-sama dengan abang Hakim, ya?” ujarku lambat-lambat. Takut juga kalau-kalau reaksi mereka berdua nanti di luar jangkaan.
Emak terdiam seketika. Puan Syakirah pun begitu. Mereka berdua kemudian, saling berpandangan. Zura dan Nurul juga sepertiku, berdebar-debar menunggu jawapan dari kedua-dua wanita itu. Akhirnya emak dan Puan Syakirah mengangguk serentak. Aku, Nurul dan Zura menarik nafas lega. Masing-masing tersenyum girang. Eh, diorang ni, lebih-lebih nampak. Aku yang nak kahwin, diorang pula yang over action.
**********
Tidak seperti kebiasaannya, tamat sahaja kuliah hari ini, aku tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya, aku pergi ke taman rekseasi berhampiran kompleks sukan semata-mata untuk menoktahkan persoalan tentang pengirim misteriku selama ini. Kepada Zura dan Nurul, aku katakan kepada mereka yang aku mahu pergi ke makmal untuk membuat sedikit kajian amali. Mujur mereka berdua tidak mencurigai aku.
Sesampai sahaja aku di taman rekreasi tersebut, semua ahli kelab tersebut nampaknya sedang bersiap-siap untuk pulang. Cepat-cepat aku mandapatkan salah seorang daripada mereka.
“Awak semua dan habis berlatih ke?” soalku hairan.
Seorang gadis di situ mengangguk.
“Hari ni, jadual kitorang memang awal. Kenapa kak?” soal gadis itu kembali.
Aku mengeleng perlahan. ‘Macam tak ada harapan je.’ bisikku.
“Em, dik. Tanya sikit boleh? Siapa kalangan ahli kelab ni yang yang pakai tali pinggang hitam?” soalku kepada gadis tersebut.
“Ahli? Ahli tak ada yang pakai tali pinggang hitam, kak. Jurulatih kami saja yang pakai.” Ujar gadis itu lagi.
Kurang asam betul Aiman ni. Nak menipu aku pun agak-agaklah. Tali pinggang hitam konon. Semuanya budak-budak mentah kat sini.
Aku mengucapkan terima kasih kepada gadis itu sebelum dia berlalu meninggalkanku. Suasana riuh tadi, bertukar sepi. Aku menapak ke arah sebuah bangku di bawah pokok pinus yang terletak tidak jauh dari situ. Angin yang meniup kencang dengan tiba-tiba, membuatkan daun-daun pokok pinus yang seakan jarum halus itu, gugur memenuhi tudungku.
Buk! Bunyi itu membuatkan aku menoleh.
“Siapa pula yang gantung beg dekat pokok ni? Dah takde tempat lain ke nak letak? Tak pasal-pasal kena tiup dek angin. Buat aku terkejut je.” aku mengomel sendirian.
Buat seketika, aku sengaja membiarkan beg itu. Manalah tahu tuannya ada di sekitar taman tersebut? Hampir beberapa ketika, tiada siapa pun yang datang, aku membuat keputusan untuk mengangkat beg itu dan menggantungkannya kembali. Aku bangun mencapai beg berjenama ‘puma’ yang hanya separuh tertutup itu. Secara tidak sengaja, isi beg tersebut tiba-tiba terkeluar. Aku tunduk mengutip isi beg tersebut satu persatu.
“Masya-Allah. Kad apa banyak-banyak ni? Macam pernah nampak je.” aku mengambil dan membelek salah satu kad yang bertaburan di atas rumput itu.
Memang sebijik seperti kad yang kuterima selama ini. Bezanya, kad yang kupegang itu kosong dan tidak tertulis apa-apa di atasnya. Maknanya, pemilik beg inilah yang memberi aku kad misteri selama ni. Siapa agaknya ya? Mahu saja aku cuba mencari butir-butir pengenalan diri yang mungkin terdapat dalam beg itu. Tetapi tak berani pula rasanya. Manalah tahu kalau-kalau pemilik beg itu tiba-tiba muncul.
Sangkaanku tepat. Beberapa saat kemudian, seorang lelaki muncul di sebelahku sambil mencapai beg tersebut dari pegangan tanganku. Tetapi, kad yang masih kupegang tadi tidak pula diambilnya. Aku kaku sebentar. Dengan perasaan yang bercampur-baur, aku menoleh perlahan-lahan. Sebaik sahaja aku memandang wajahnya, serta merta tubuhku menjadi lemah. Kad yang kupegang tadi pula, melayang ditiup angin entah ke mana. Aku mimpi ke apa ni? Sedarlah wahai diri, sedarlah…
**********
“Akak, tak percaya lagi ke?” soal Adi Putra kepadaku.
Aku melarikan pandangan darinya. kawasan kafeteria itu hanya terdapat beberapa orang pelajar sahaja. Dan kami memilih meja di satu sudut. Hembusan angin pada petang itu, sedikit sebanyak memberikan ketenangan kepadaku.
“Susah nak percaya.” Jawabku setelah agak lama kemudian.
Aku memandangnya. Dia tersenyum.
“Apa yang susah sangat, kak? Selama ni, Adi dok usya akak, takkan akak tak perasan?” soal lelaki itu kepadaku.
“Perasan, tapi akak malas nak layan. Sebenarnya akak tak target langsung Adi yang bagi semua kad tu. Ingatkan, student bacth akak.” Ujarku.
“Akak kan minat Adi. Takkan tak terlintas langsung difikiran akak yang student seni reka bentuk tu Adi?” selamba pemuda itu berkata.
“Hah? Mana Adi tahu?” soalku agak terkejut.
“Alah, Adi tahu semua pasal akak. Sebab Adi pun minat akak.” Beritahunya lagi.
Aku terdiam. Lidahku terasa dikerat-kerat saja waktu itu. Nak kata apa ni? Nak menjerit? Nak menangis? Nak terbang kat langit? Gila. Tapi yang pastinya, aku memang betul-betul rasa nak buat semua tu. Apa tidaknya, pelakon terbaik UIA yang kacak lagi popular di kampus ni baru saja mengaku yang dia minat dekat aku. Wahai semua gadis di UIA, dengarlah rakaman Adi sebentar tadi. Itu pun kalau sempat kurakam…
“Akak tanya sikit boleh? Macam mana Adi boleh jadi jurulatih taekwando kat sini? Tak padan dengan semester tiga, dah aktif macam-macam.” Aku cuba mengalih topik perbualan.
Pemuda itu kulihat tertawa perlahan.
“Kak, dalam taekwando ni, tak kira senior ke, junior ke, siapa pun boleh jadi jurulatih. Asalkan, ada tali pinggang hitam dan ada pengalaman. Lagi satu, hubungan baik dengan senior pun salah satu faktor juga.” Ujar pemuda itu dengan bangga.
“Maksud Adi?”
“Abang Aiman tu, kawan baik Adi. Dialah yang ajak Adi masuk taekwando dengan dia. Kalau tak, Adi pun tak nak aktif macam ni.”
“Eleh, nak kata dia dah terror la tu.”
“Adi ni tak delah terror mana, kak. Kalau nak dibandingkan dengan adik beradik Adi yang lain. Abang Adi tu, lagi hebat. Bukan setakat tali pinggang hitam, tali pinggang emas, perak, gangsa semua dia ada.”
“Iyalah tu. Pandai-pandai je nak buat cerita.”
“Bukan apa, sekadar nak cakap betapa kagumnya Adi dengan dia. Tu saja.”
“Student sini juga ke?” soalku sekadar ingin tahu.
“Taklah. Dia belajar di luar Negara. Handsome, kak. Kalau akak berminat, Adi boleh tolong adjustkan.” Selamba dia meng’offer’kan diri.
“Hm, tak payah. Akak dah bertunang dah, Adi. Nampak cincin ni?” ujarku sambil menayangkan cincin pertunanganku kepadanya.
Pemuda itu kelihatan hampa. Hai, takkan betul-betul serius nak jodohkan aku dengan abang dia kot?
“Adi, kalau akak nak minta Adi ajarkan akak taekwando boleh tak?” aku cuba menarik perhatiannya kembali.
“Ajar akak? No problem. Tapi akak ada masa ke? Kan akak sibuk dengan Violet Team. Dengan final exam lagi.” Soalnya kepadaku.
“Sibuk juga. Tapi akak bukannya nak rasa sangat pakai tali pinggang hitam tu. Setakat tahu skil-skil nak mempertahankan diri cukuplah. Lagipun, tunang akak yang sarankan akak belajar benda-benda tu.” ujarku.
“Kalau macam tu, tak de hal la, kak.” Pemuda itu memberikan persetujuan.
Aku tersenyum gembira.
**********
Malam itu, Zura dan Nurul bersenang lenang betul melepak atas katilku. Sejak aku memberitahu mereka tentang pengirim misteri itu, tak habis-habis mereka mengekoriku. Walaupun berkali-kali aku mengatakan perkara yang sama, mereka tetap tidak jemu-jemu menemu ramahku. Dah macam artis pula rasanya.
“Ha, tulah. Aku dah cakap dari dulu lagi, tapi kau tu yang degil tak nak dengar cakap aku.” ujar Zura sambil menelentang di atas katilku itu.
“Bukan aku tak nak percaya, tapi tak ada bukti. Sebab tu aku buat tak tahu je.” balasku sambil menyudahkan beberapa kertas kerja yang tertangguh petang tadi.
“Tapi, memang betul pun, kan?” gadis itu masih tidak mahu mengalah.
“Okeylah. Kau menang. You’re always right.” Aku mengalah akhirnya.
Gadis itu tersenyum gembira sambil membelek-belek majalah pula.
“Weh, korang. Ingat lagi tak pasal Adi belasah mamat-mamat dekat kafe dulu?” aku menyoal tiba-tiba.
Mereka berdua serentak memandangku sambil terangguk-angguk.
“Ingat. Kenapa?” soal Nurul yang nampaknya lebih teruja berbanding Zura.
Aku yang dari tadi tekun duduk di meja tulisku, terus bangun mendapatkan mereka berdua di atas katil.
“Sekarang, baru aku tahu kenapa mamat-mamat yang usik kita tu terus cabut lari bila Adi datang.” Kataku.
“Kenapa pulak?” soal Zura.
“Dia ada tali pinggang hitam. Kebetulan pula, lelaki-lelaki yang kacau kita hari tu pernah kena smash dengan dia, sebab tulah diaorang blah cepat-cepat.” Ujarku sambil mengenang kembali peristiwa tersebut.
Zura dan Nurul terangguk-angguk lagi tanda mengerti. Telefon bimbitku tiba-tiba berbunyi menandakan ada mesej masuk. Segera aku mencapai telefon yang terletak di atas meja tulisku itu. Melihat nama yang tertera, bibirku spontan menguntum senyuman.
“Eh, Zura. Aku nak tanya ni. Aiman tak mesej dengan kau ke malam ni?” soal Nurul tiba-tiba. Sengaja dia meninggikan nada suaranya itu.
“Aku tak pastilah. Handphone aku kat dalam bilik. Kau?” soal Zura kembali.
“Oh, tiba-tiba aku teringat. Abang Hanafi aku kata dia nak call aku malam ni. Tapi tak tahulah pukul berapa.”
“Iya? Kalau macam tu, baik kau pergi check sekarang. Entah-entah dah menimbun ‘missed called’ dalam telefon kau tu.” ujar Zura sambil menjeling-jeling memandangku.
“Ha’ah, la. Aku rasa kau pun baik pergi check juga. Entah berapa banyak ‘unread massages’ kau agaknya.” Sambung Nurul lagi.
Aku yang sedang membalas mesej daripada tunangku tadi, sengaja berpura-pura tidak mengerti sindiran-sindiran mereka itu. ‘Korang memang dengki dengan aku. Bukan boleh tengok orang lebih sikit. Dasar cemburu.’
“Yelah, betul juga cakap kau tu. Lagipun, tiba-tiba je hidung aku ni berbau bunga-bunga cinta. Kau tak bau ke?” soal Zura pula.
“Bau, bau. Kuat pula tu. Jomlah blah. Tak tahan hidung aku ni.” ujar Nurul sambil menarik tangan Zura dan keluar dari situ.
Aku lekas-lekas mencapai beberapa buah bantal kecil di atas katil lantas mencampakkan ke arah mereka berdua.
“Kurang asam korang ni. Jealous cakap je lah.” Ujarku geram.
Mereka berdua terkekek-kekek ketawa. Seronok mengenakan aku lah tu.
Disamping bertungkus-lumus untuk menghadapi peperiksaan akhir, aku juga semakin kerap menjalani latihan bola jaring. Sekali sekala, Puan Misha turut turun padang memantau latihan kami. Untuk pengetahuan, wanita itulah yang mengasaskan Violet Team ini. Segala keperluan kami, cuba dipenuhinya demi memastikan rekod kejuaraan kami selama dua tahun berturut-turut, tidak akan pecah pada tahun ini.
“Saya dah cakap, jangan makan makanan berlemak. Look what you have done? Prestasi kamu tak memuaskan. Nak lompat pun susah. Macam ni ke cara nak menang?” Puan Misha memberi peringatan kepada para pelatih sewaktu dia memantau latihan mereka tadi.
Masing-masing tekun mendengar. Aku yang berdiri di sebelah wanita itu, turut mendengar dengan teliti. Puan Misha sememangnya peka dengan setiap ahli pasukan kami. Semua perkara tidak terlepas dari pemerhatiannya. Meskipun tegas, beliau tetap disayangi oleh semua pelajarnya.
**********
“Kak Qis, apa termenung lagi tu? Dah habis training ke belum?” Adi Putra menegurku tiba-tiba.
Entah bila masa budak tu datang, tiba-tiba saja dah terpacak depan mataku. Lengkap dengan sut taekwando lagi tu. Dan tidak ketinggalan, kepalanya juga turut dililit dengan kain hitam. Tak boleh blah betul gaya Adi ni…
“Apasal akak pandang Adi macam tu? Handsome sangat ke?” dengan selamba pemuda itu bertanya.
“Ish, perasan. Tak ada apa-apalah. Dah, jom.” Ujarku lantas berjalan mendahuluinya menuju ke taman rekreasi di hadapan kompleks sukan itu.
Setiap kali selepas habis menjalani latihan bola jarring, di sinilah aku menuntut ilmu mempertahankan diri dengannya. Tiada apa yang perlu aku risaukan berdua dengan pemuda itu kerana ramai lagi siswa dan siswi yang turut beriada di situ pada waktu petang-petang begini. Kadang-kala, Nurul dan Zura juga turut sama menyertaiku.
Sejak aku kerap menjalani latihan dengan Adi Putra, hubungan kami berdua menjadi semakin rapat. Dia sering menemani aku menjalani latihan bola jaring. Dan kadang-kala, aku turut menemaninya membuat latihan pementasan di dewan teater. Anak muda itu benar-benar berbakat. Dan aku gemar sekali menonton lakonannya. Nampak real…
Tetapi, itu tidak bermakna hubunganku dengan kawan-kawan baikku tidak seperti selalu. Kami masih rapat seperti dulu. Masih lagi ke kuliah bersama-sama. Melepak dan mengulang kaji bersama-sama. Cuma waktu hujung minggu sahaja kami membuat hal sendiri. Zura semestinya bersama jaguh bola sepaknya itu. Nurul pula, semakin aktif dengan program motivasi yang dijalankan bersama ustaz kesayangannya.
Sementara aku, selain daripada menjalani latihan bola jaring dan taekwando, rajin juga aku mengirimkan rindu pada tunang yang jauh. Kadang-kala, cemburu juga bila melihat Zura dan Nurul bersama pasangan mereka. Hari-hari bertentang mata. Tapi, tak apalah. Aku sudah cukup bahagia mengenali Hakim walaupun belum pernah bersua muka dengannya lagi. Tentang Adi Putra, ada juga aku keluar bersamanya sekali-sekala. Itupun, jika dia yang mengajakku. Yang pastinya, perkara ini tidak pernah aku ceritakan kepada Hakim.
**********
“Kakak tak kisah ke keluar dengan Adi, ni?” soal Adi Putra sewaktu kami sedang makan tengah hari di sebuah restoran hujung minggu itu.
“Nak kisah apa?” soalku.
“Manalah tahu kalau-kalau orang cakap kita ni kekasih ke, suami isteri ke.” Ujar Adi selamba.
“Ish, tak sayang mulut betul. Akak cili karang, baru tahu. Adi kan tahu akak dah bertunang. Buat apa nak layan cakap orang. Susah-susah sangat, tak payahlah ajak akak keluar.” Ujarku kepadanya.
“Tak adalah, tunang akak kan jauh. Kenapa akak tak cari yang dekat-dekat sini je? Kan senang. Boleh tengok-tengokkan akak selalu.” Ujar pemuda itu sambil tersenyum.
Aku mengerutkan dahi.
‘Bila masa pula aku bagitahu yang tunang aku jauh? Lain macam pulak aku tengok budak ni.’ aku berbisik sendirian.
“Kenapa Adi cakap macam tu? Macam tak puas hati je.”
“Alah kak, sedangkan yang dah berkahwin dan beranak pinak pun boleh bercerai, inikan pula baru bertunang.” Adi berkata lagi.
Kata-kata itu membuatkan aku tersentak. Perasaanku tiba-tiba saja menjadi geram.
“Adi ni kenapa? Apasal tiba-tiba cakap macam ni pulak?” Aku cuba mengawal nada suaraku. Hilang terus selera aku dibuatnya. Nasi yang baru separuh kutelan tadi, langsung aku biarkan.
“Macam mana kalau Adi cakap yang Adi sukakan akak?” pemuda itu tiba-tiba bersuara.
“Hah? Adi ni merepek je. Adi sedar tak apa yang Adi cakap ni?” aku menekankan sedikit nada suaraku.
“Apa pula tak sedarnya. Nak Adi ulang balik? Qis, Adi dah lama sukakan Qis. Dah lama Adi pendamkan perasaan ni pada Qis. Qis saja yang tak tahu.” Lelaki itu dengan selambanya berkata-kata.
Aku terkebil-kebil memandangnya. Betul ke tak betul Adi ni? Gila!
“Qis, Adi tahu Qis terkejut. Tapi Adi dah tak boleh simpan lagi dah. Adi betul-betul sayang pada Qis. Adi cintakan…”
“Cukup, Adi.” Aku menahan dirinya dari terus berkata-kata.
Pertama kali aku merasa perasaan pelik begini. Terkejut, geram, marah, sedih, kecewa, takut, semuanya bersatu dalam diriku. Segera aku mencapai beg tanganku.
“Adi memang dah melampau.” Ujarku seraya berlalu pergi meninggalkannya.
Pemuda itu langsung tidak memberikan sebarang respon. Tiada riak bersalah pun pada wajahnya. Meminta maaf apatah lagi. Aku menjadi sebak tiba-tiba. Perasaanku benar-benar hancur dengan perbuatannya itu.
**********
Air mataku masih lagi tidak henti-henti mengalir. Puas Nurul dan Zura memujukku. Tetapi apa yang mampu aku lakukan ialah menangis, menangis dan terus menangis. Semenjak itu, aku tidak mahu berjumpa dengan Adi lagi. Latihan taekwando atau semua yang berkaitan dengannya, aku tak mahu lagi ambil tahu. Walaupun dia pernah cuba untuk berjumpa denganku, hanya alasan yang kuberikan kepadanya. Untuk apa? Sudah pastinya untuk mengelak dan menjauhkan diri darinya. Kata-kata maaf dari sms dan kad pula, entah berapa banyak yang dikirimkan kepadaku agaknya. Aku sendiri tidak tahu mengapa hati ini terlalu sukar memaafkan perbuatannya itu. Apabila teringatkan Hakim, aku pasti akan diserang serba salah. Sayu dan hiba pula rasanya apabila mengenangkan bakal suamiku itu. Inilah akibatnya kerana tak pernah jujur dalam perhubungan. Abang, maafkan Qis…
**********
“Hei, apasal muka kelat je ni? Perlawanan dah nak start dah. Pergilah support anak-anak buah kau tu.” ujar Nurul sambil menepuk lembut bahuku.
Aku tersenyum memandangnya. Ya, Allah. Macam manalah aku boleh terbawa-bawa perasaan sampai macam ni sekali. Sampaikan hari yang paling penting ni pun diri aku seolah-olah tidak wujud di sini. Agaknya, kalau Nurul tak datang kepadaku tadi, entah sampai bilalah aku nak monyok kat luar stadium ni.
“Nurul, I’m sorry. Aku betul-betul lupa yang…”
“Sudahlah tu. Tak payah difikir-fikirkan lagi. Jom masuk. Budak-budak ni semua tengah tunggu kau kat gelanggang. Puan Misha pun sama tau.” Nurul cuba memujukku lagi.
“Family aku?”
“Jangan kata family kau, family mertua kau pun ada sekali. Okey, jom.”
Aku akhirnya menurut kata-kata gadis itu. Kami berdua melangkah bersama ke gelanggang bola jaring di dalam stadium tertutup UIA itu. Aku mendongak melihat penonton yang sudah tidak sabar-sabar menantikan perlawanan bermula. Ramai juga ibu bapa dan pelajar-pelajar yang datang memberikan sokongan. Melihat keadaan itu, emosiku mula berubah. Aku jadi bersemangat tiba-tiba. Lalu aku berlari mendapatkan anak-anak buahku yang sudah bersedia dengan jersi dan bib serba ungu. Memang padanlah dengan nama Violet Team kami. Masing-masing tekun mendengar taklimat akhir daripada Puan Misha.
“Okey, girls. Ini cabaran kita yang terhebat. Kita dah lepasi semua peringkat saringan dan akhirnya, kita sampai ke final, alhamdulillah. Sekarang, you all semua memikul tanggungjawab yang sangat besar. Jangan malukan Violet di gelanggang sendiri, ok. Understand my dear?” ujar Puan Misha.
Semua anak-anak buahku menjawab serentak dengan penuh bersemangat. Aku tersenyum bangga dengan komitmen mereka.
“Qis, you take over. Saya akan perhatikan game ni dari sana.” Ujar Puan Misha sambil menunjukkan ke satu sudut khusus untuk para jurulatih tidak jauh dari situ.
Aku mengangguk. Segera aku mengarahkan anak-anak buahku melakukan regangan otot dan bersiap sedia kerana permainan akan bermula bila-bila masa sahaja lagi.
Sebaik wisel dibunyikan, dengan iringan doa, mereka semua melangkah masuk ke gelanggang permainan. Serta merta stadium menjadi gamat. Pasukan penyokong dari UIA, mula rancak melaungkan rentak-rentak semangat yang pastinya menaikkan semangat para pemain. Aku dengan tenang, mengambil tempat di tepi gelanggang. Sempat juga mataku melilau mencari kelibat emak dan ayah. Ternyata, kehadiran mereka di situ membuatkan aku lebih bersemangat dan gembira. Aku melemparkan senyuman kepada mereka sebelum kembali menumpukan perhatian kepada permainan yang bakal dimulakan sebentar lagi.
Pasukan Violet melaungkan trademark mereka di tengah-tengah gelanggang. Begitu juga dengan pasukan lawan iaitu daripada Universiti Darul Iman yang turut mara ke pusingan akhir. Pemerhatianku tertumpu sepenuhnya kepada perlawanan sebaik sahaja wisel berbunyi. Setiap gerak langkah pasukan Violet, tidak satu pun yang terlepas dari pandanganku. Disamping itu, aku juga turut memerhatikan gerak lawan agar mudah mencari kelemahan mereka. Hampir serak suaraku kerana cuba melawan hiruk pikuk di dalam stadium. Mujurlah, setiap gerak mereka memuaskan hatiku. Tidak perlulah aku terjerit-jerit setiap masa.
Selepas lima belas minit berlalu, wisel penamat untuk set pertama dibunyikan. Ahli-ahli pasukanku semua menuju ke luar gelanggang mendapatkan Puan Misha yang sedia menanti mereka. Seperti perlawanan saringan sebelum ini, wanita itu akan memberikan komennya dan mengingatkan mereka tentang apa-apa yang perlu diperbaiki.
“Qis, sini jap.” Nurul tiba-tiba menarikku tanganku.
“Kenapa?” soalku.
Gadis itu berbisik sesuatu.
“Cuba kau pandang kanan. Aku perhatikan lelaki tu asyik pandang kau je dari tadi. Sikit pun dia tak berganjak ke mana-mana. Aku rasa lain macamlah, Qis. Hati-hati sikit. Mungkin dia ada niat yang tak baik dekat kau.” Nurul membaritahuku dengan penuh perasaan curiga.
“Ish, kau ni. Tak baik syu’zun dengan orang. Ada ke cakap macam tu.”
“Tak percaya kau tengoklah sendiri.” Desak Nurul lagi.
Aku berpura-pura membetulkan tali kasutku sambil mengadap ke arah lelaki yang dimaksudkan oleh Nurul tadi. Betullah. Ada seorang lelaki sedang merenung ke arahku dari hujung gelanggang tu. Tetapi, aku tidak dapat pula mengecam wajahnya. Cuma susuk tubuh lelaki itu, tiba-tiba mengingatkan aku kepada seseorang. Nak kata lelaki itu berniat buruk, tak macam rupa penjahat pun. Malahan lelaki itu kelihatan kacak pula mengenakan t-shirt lengan panjang yang disinsingkan ke paras siku. Astaghfirullah. Aku lekas-lekas berpaling. Ini boleh mendatangkan perasaan lain ni.
Nurul mengangkat keningnya memandangku. Aku pula mengangkat bahu. Tiba-tiba Zura berlari-lari anak mendapatkan kami. Gadis itu termengah-mengah menahan nafas.
“Woi, Zura. Mana kau pergi tadi? Orang dah habis satu set, baru kau nak muncul.” Soal Nurul kepada gadis itu.
“Sabar, sabar. Aku nak ambil oksigen ni. Sebenarnya aku baru lepas tengok perlawanan bola sepak tadi. Lepas tu…”
“Aku dah agak dah. Mesti nak support buah hati intan payung kau tu. Apa cerita? Menang ke kalah?” soal Nurul tidak sabar.
“Ish, kau ni suka betul menyampuk cakap aku. Ustaz Hanafi ajar kau ke, ha?”
“Hoi, apa sebut-sebut nama boyfriend aku pulak?”
“Sudah, sudah. Aku nak tahu macam mana dengan Knight FC ni. Sambung Zura.” Aku cepat-cepat menyampuk sebelum mereka berdua terus bertekak.
“Yes, kita menang.” Ujar Zura riang sekali sambil memelukku.
Aku dan Nurul tersenyum gembira dengan kemenangan tersebut.
“Hah, lagi satu. Aiman suruh aku sampaikan benda ni dekat kau. Katanya daripada Adi.” Ujar Zura sambil menghulurkan sekeping kad bersampul kepadaku.
Aku merenung kad tersebut. Dah agak, dah. Mesti sampai punya kad ni. Meluat pula aku pandang dengar nama tu. Kalau dulu, aku pasti teruja mendapat kad misteri sebegini. Tetapi sekarang, rasa macam nak pijak-pijak je.
“Hoi, Qis. Apa yang kau tenung kad ni? Ambiklah.” Sergah Zura tiba-tiba.
“Tak nak.” Ujarku lalu melangkah meninggalkan mereka.
Zura dan Nurul tergesa-gesa mendapatkanku. Memang itulah kerja korang dari dulu. Tak habis-habis mengekor aku.
“Ambiklah, Qis. Orang dah bagi ni, terima jelah. Kalau tak nak baca pun, pegang je buat kipas. Kan panas ni.” Nurul memberikan idea.
Hatiku menggeletek mendengar kata-katanya itu. Bagus juga idea kau ni. Eleh, saja nak buat aku tergelak la tu. No way!
“Aku kata tak nak, tak naklah. Cakap dengan dia, kat dalam bilik aku dah melambak-lambak kad macam ni. Yang ni pun aku dah tak tahu nak letak mana. Dah, jangan ikut aku lagi.” Ujarku dengan penuh perasaan ego sambil berlalu meninggalkan mereka.
Permainan set kedua sudahpun bermula. Puan Misha sempat mengarahkan aku agar mencari kelemahan pihak lawan dengan lebih teliti supaya senang untuk mengatur strategi. Kemudian, aku memandang ke arah ahli keluargaku pula. Mereka melambai-lambaikan tangan kepadaku. Aku hanya mampu tersenyum sebagai membalas lambaian mereka. Secara tidak sengaja, pandanganku bertembung pula dengan lelaki yang mencurigakan tadi. Dia masih lagi tercegat memerhatikanku sambil memeluk tubuhnya di hujung gelanggang. Apalah yang dia buat dekat situ? Musykil betul aku dibuatnya. Akhir sekali aku menoleh memandang teman-temanku yang entah bila masa muncul di sebelahku sambil memandangku dengan tajam.
“Aku kata ambik, ambiklah. Apasal kau ni degil sangat hah? Kau tahu tak, Adi suruh Aiman bagitahu aku supaya bagitahu kau yang kad ni, adalah kad terakhir dari dia. Kau nak atau tidak, kau kena ambik jugak. Nah.” Ujar Zura sambil menarik tanganku dengan kasar dan meletakkan kad tersebut di atasnya.
Wah, berbelit-belit Zura menyudahkan ayatnya. Wajah mereka berdua yang begitu menakutkan itu, akhirnya menbuatkan aku mengalah. Segera mereka berlalu pergi dari situ.
“Dan baca.” Sempat lagi Nurul berpesan sebelum terkedek-kedek mengikut langkah Zura.
Permainan sedang rancak berjalan. Sorakan penonton pula semakin kuat apabila permainan kini sudah seri 7-7. Aku mulai gelisah. Boleh tahan juga UDIM ni. Bisikku sendirian. Kad pemberian Adi Putra yang masih berada ditanganku itu kutenung berkali-kali. Entah kenapa, desakan hatiku begitu beria-ia mahu aku membacanya meskipun permainan sedang rancak berjalan. Dengan kalimah bismillah, akhirnya aku membuka sampul tersebut perlahan-lahan.
“Kak, izinkan Adi menjadi sikat untuk meluruskan segala-galanya hari ini. Nanti, akak akan tahu bahawa Adi bukanlah seperti apa yang akak fikirkan. Adi nak jumpa akak selepas tamat permainan nanti. Mungkin untuk kali terakhir.”
Stadium yang riuh rendah itu tiba-tiba menjadi sepi. Aku yang baru saja tersentak dengan kad kiriman Adi tadi, tercengang-cengang memandang sekeliling. Dan aku semakin tertanya-tanya apabila melihat orang ramai berpusu-pusu ke tengah gelanggang. Dengan pantas, aku mendapatkan Nurul dan Zura.
“Kenapa ni?” soalku kepada mereka berdua.
“Kau tak nampak ke? Farisha pengsan.” Nurul memberitahuku.
“Farisha? Ya, Allah. Pemain terbaik tu? Macam mana dia boleh pengsan pula?” soalku cemas.
“Aku tak tahu. Kitorang tengah syok-syok tengok game tadi, tiba-tiba je dia pengsan.” Ujar Zura pula.
“Oh, my God. Macam mana ni? Puan Misha!” laungku ke tengah gelanggang. Wanita itu juga turut berlari ke arahku.
“Qis, cepat carikan pemain ganti.” Arah Puan Misha kepadaku.
Aku buntu. Pemain ganti? Untuk goal shutter terbaik tu?
“Puan Misha, maafkan saya. Saya tak expect langsung perkara macam ni nak berlaku pada Farisha. Pemain yang kita ada sekarang, bukannya tak boleh. Tetapi mereka tak sebaik Farisha di posisi GS tu.” ujarku sedikit kesal.
“What? Balqis, awak tak bergurau dengan saya, kan?”
Habislah, Puan Misha dah sebut nama penuh aku. Maknanya, aku perlu serius dan professional ketika itu.
“Tak puan, saya serius ni. Pemain ganti memang ada. Cuma harapan untuk kekalkan kejuaraan kita selama ni, saya rasa agak susah tanpa Farisha. Puan sendiri tahu macam mana prestasi dia. Saya letakkan harapan yang tinggi kepada dia, puan.” Ujarku agak cemas.
Puan Misha terdiam. Aku juga begitu. Masing-masing buntu memikirkan cara terbaik untuk pasukan kami kekal menjadi juara bertahan pada tahun itu. Aku pasti akan dilanda kekesalan andai itu tidak berlaku.
Suasana kembali pulih setelah Farisha dibawa ke bilik rawatan. Wisel permulaan ditiup semula dan aku menjadi semakin cemas kerana masih belum ada sebarang keputusan yang keluar dari mulut Puan Misha.
“Qis, tunggu sini sekejap. Saya tahu apa nak buat.” Ujar Puan Misha tiba-tiba.
Wanita itu berlari-lari anak mendapatkan pengadil yang berdiri tidak jauh dari situ. Aku perhatikan sahaja perbincangan mereka. Pengadil itu kulihat mengangguk-angguk mendengar penerangan Puan Misha. Apa agaknya yang dibincangkan mereka? Semakin risau pula aku dibuatnya. Aku mendongak sebentar. Rupa-rupanya bukan aku seorang yang memerhatikan Puan Misha dan pengadil itu, malah satu stadium menyaksikannya. Setelah beberapa minit, Puan Misha kembali mendapatkanku.
“Qis, ambil bip ni dan gantikan Farisha.” Ujar Puan Misha sambil menghulurkan bip Farisha kepadaku.
Aku terperanjat mendengar kata-kata wanita itu.
“Apa? Saya gantikan Farisha? Puan ni biar betul, saya kan jurulatih pasukan ni. Mana boleh main.” Ujarku. Biar betul Puan Misha ni.
“Why not? Balqis, sebenarnya saya letakkan nama awak sebagai jurulatih dan sebagai salah seorang pemain simpanan pasukan kita. Lagipun, awak masih berstatus pelajar. Tiada syarat dalam pertandingan ni yang mengatakan jurulatih tidak dibenarkan bermain. Selagi awak berstatus pelajar dan berumur tidak lebih dari 24 tahun, awak layak bermain.” Puan Misha membidas kata-kataku.
“Tapi puan…”
“Balqis, tolonglah. Demi UIA, demi Violet Team, lakukanlah. Saya tahu awak boleh.” Puan Misha merayu kepadaku.
Aku menjadi serba salah dan buntu. Bip yang tertera huruf GS di depan dan belakang itu, perlahan-lahan kusarungkan ketubuhku. Serentak itu, stadium kembali gamat dengan tepukan dan sorakan dari penonton. Sekali lagi pandanganku bertaut dengan lelaki misteri di hujung gelanggang tadi. Kali ini, dia tersenyum pula ke arahku. Aku semakin pelik. Kita selesaikan kemudian ye, encik…
Wisel ditiupkan untuk kali kedua. Dengan pantas, aku masuk ke gelanggang dan bersedia dengan posisiku. Permainan untuk set kedua diteruskan semula. Selepas lima minit perlawanan, Nadia, pemegang posisi goal attack menyumbangkan mata pendahuluan bagi pasukan Violet. Sorakan gemuruh serta merta bergema di dalam stadium tersebut. Pihak lawan pula mengekori kami pada minit seterusnya menjadikan mata perlawanan kembali seri 8-8. Aku melaungkan kata-kata semangat kepada ahli-ahli pasukanku. Mereka nampaknya berhempas pulas bermain. Aku sempat mengerling masa permainan di papan markah.
‘Tiga minit lagi.’ Bisikku.
Bola yang kini berada di tanganku, aku kembalikan kepada Diana yang berada di posisi centre. Gadis lincah itu sempat memusingkan badannya beberapa kali sebelum melontarkan bola tersebut ke arah Syifa di posisi WA. Dan gadis itu dengan lantang melaungkan namaku. Fuh, sikit lagi bola ni nak terlepas. Aku memperkemaskan pegangan sebelum mengatur beberapa langkah ke hadapan.
‘Satu minit lagi.’
“Shut Balqis, shut.” Zura dan Nurul terjerit-jerit dari luar gelanggang.
Aku cuba mengagak jarak bola dari tiang gol. Setelah berpuas hati dengan jarak yang kuambil, aku mengacah-acahkan balingan beberapa kali sebelum menjaringkan gol ke-9 sekaligus merupakan gol kemenangan bagi pasukanku. Wisel penamat ditiupkan. Dan serta merta aku diserbu oleh semua ahli pasukan Violet. Para penonton dan penyokong pula bersorak gembira. Dari dicelah-celah himpitan itu, aku sempat melihat Puan Misha melemparkan senyumannya kepadaku.
**********
Aku kini sedang duduk bersama-sama ahli keluargaku di tepi gelanggang. Kebanyakkan penonton sudah pun beransur pulang dan stadium itu kelihatan sedikit lengang berbanding tadi. Aku tersenyum gembira. Apa tidaknya, Puan Shakirah tidak putus-putus memujiku. Begitu juga dengan Encik Adnan. Emak dan ayahku pula tersenyum bangga. Dan Syafiq, tak sangka rupa-rupanya dia merakamkan detik-detik manisku tadi. Terima kasih, Fiq.
“Kak.” Seorang lelaki menegurku tiba-tiba.
“Adi.” Ujarku sebaik saja menoleh memandangnya.
Ketika itu, aku berada agak jauh dari kelompok keluargaku. Dan sebelah tu, oh, lelaki dihujung gelanggang tadi. Handsome juga rupanya! Sempat lagi aku memuji dalam hati.
“Kak, Qis. Adi nak minta maaf atas kesalahan yang Adi dah lakukan pada akak sebelum ni. Adi tahu, Adi tak patut buat macam tu, tapi…”
“Tak apalah, Adi. Akak maafkan.” Ujarku lembut.
Entah kenapa, kasihan pula aku menatap wajahnya ketika itu. Dan ungkapan maaf itu pula seolah-olah mudah sahaja melembutkan hatiku. Wajah Adi kelihatan gembira.
“Tapi, kak. Apa yang Adi cakapkan di restoran tu, sebenarnya memang betul. Memang ada orang yang cintakan akak. Bukan Adi, tapi abang Adi ni.” ujar Adi Putra sambil memperkenalkan lelaki di sebelahnya itu sebagai abangnya.
Pelik sungguh. Ahli keluargaku yang berdiri tidak jauh dari situ, takkan tak dengar apa yang lelaki ni cakapkan tadi? Mereka langsung tidak memberi tumpuan kepadaku. Kenapa diorang ni boleh buat tak tahu je? Tak ada perasaan ke? Bisik hati kecilku.
“Adi, berapa kali akak nak cakap, akak kan dah bertunang. Takkan Adi masih tak faham-faham lagi?” ujarku kepadanya.
“Adi faham, tapi abang Adi ni yang tak faham. Dia cakap…”
“Biar akak cakap. Awak, biarlah saya jelaskan segala-galanya. Kalau betul apa yang Adi cakapkan tu, saya minta maaf banyak-banyak. Saya tak dapat nak terima cinta awak.” Ujarku kepada lelaki itu sekaligus memotong kata-kata Adi.
Lelaki itu memandangku tanpa menunjukkan apa-apa reaksi.
“Saya hargai perasaan awak tu. Tapi saya nak ulang sekali lagi yang saya ni dah bertunang. Ni ha, buktinya. Cincin ni dah hampir lima bulan terletak dijari saya, awak tahu?” Aku menayang-nayangkan cincin itu di hadapannya.
Lelaki itu masih lagi seperti tadi. Tiada sebarang respon yang ditunjukkan. Cuma kali ini, bibirnya tersenyum sedikit. Itupun macam nak menyidir aku sahaja. Nampaknya, aku kena bersyarah lagi ni.
“Saya tak pastilah kalau kita pernah berjumpa kat mana-mana sebelum ni. Mungkin awak pernah nampak saya, tapi saya tak pernah nampak awak. So, saya tak tahu macam mana awak boleh cakap yang awak cintakan saya sedangkan saya yakin yang awak pun tak kenal saya, kan?” ujarku panjang lebar.
Pemuda itu tersenyum lagi. Kali ini lebih lebar pula.
“Awak tak kenal saya?” soal lelaki itu kepadaku.
Aku mengeleng dengan pantas.
“Jumpa pun tak pernah. Apatah lagi kenal.”
“Macam mana pula awak kenal tunang awak?” soalnya lagi.
“Dia tunang saya, mestilah saya kenal.”ujarku dengan yakin.
“Saya tak percaya. Saya tak percaya yang awak dah bertunang. Setakat cincin macam tu, siapa-siapa pun boleh beli. Saya perlukan bukti yang lebih kukuh lagi.” Ujar lelaki itu sambil memandangku tajam.
Ish, apasal tak puas hati je dengan aku ni? Nak bukti apa lagi? Nak aku panggilkan mak cik Syakirah?
“Ini, gambar tunang saya.” akhirnya aku mengeluarkan gambar Hakim dari beg sandangku.
Lelaki yang tidak ku ketahui namanya itu mengambil gambar tersebut sambil tersenyum-senyum. Menyindir ke apa ni?
“Ini tunang awak? Terus terang saya cakap, dia memang tak sesuai dengan awak. Awak tu cantik, berpelajaran tinggi. Percayalah, awak lebih sesuai dengan saya. Bukan dia.” Ujarnya selamba selepas melihat gambar itu.
“Hah? Perasannya awak ni.” aku tersenyum sinis.
Perangai sebiji macam Adi. Adik beradik sama je.
“Saya tahu, awak sebenarnya tak terima dia dengan sepenuh hati. Apa guna awak paksa diri tu. Awak cuma menghancurkan kebahagiaan diri awak saja. Dia dengan awak, macam ‘beuty and the best’. Tak secocok langsung.” Ujar lelaki itu lagi sambil mentertawakanku.
Aku cepat-cepat merampas gambar itu kembali.
“Cukup. Awak tak ada hak nak cakap macam tu pada tunang saya. Dan awak tak ada hak untuk memperkecil-kecilkan dia. Saya saja yang tahu sama ada saya terima dia sepenuh hati ke, separuh hati ke, sekerat hati ke. Awak tak payah susah-susah ambil tahu. It’s none of your business.” aku melawan kata-kata lelaki berlagak itu.
“Balqis, kita ni manusia. Fitrah kita akan tertarik pada sesuatu yang cantik, yang sedap mata memandang. Awak tak payahlah tipu diri awak. Kalau nak dibandingkan, saya ni jauh lebih kacak daripada lelaki dalam gambar tu. Awak terima saja saya ni. Saya yakin, awak tak akan menyesal.” Lelaki itu semakin berani bersuara.
“Awak ni tak faham bahasa ke? Kalau awak ingat dengan ke’handsome’an awak tu awak boleh pikat hati saya? Awak silap. Lagi buat saya menyampah adalah. Sekarang, awak dengar apa yang saya nak cakap. Rupa awak yang kacak ni, anugerah Allah buat sementara waktu saja tau. Kalau Dia nak, bila-bila masa saja Dia boleh ambil balik. Jadi, tolong jangan salah gunakan nikmat tu.” aku menasihatinya sebelum berpaling untuk pergi dari situ.
“Maafkan akak, Adi. Adi silap pilih calon. Ingat apa yang akak cakap pada abang Adi tu. Ia akan berguna untuk Adi suatu hari nanti.” sempat lagi aku berpesan dengan anak muda itu sebelum meneruskan langkahku.
“Mesti awak selalu jumpa tunang awak, kan? Kalau tidak, macam mana awak boleh kenal dia dengan begitu baik sekali?” Soal lelaki itu tiba-tiba.
Aku menoleh semula. Terdiam aku seketika. Macam mana nak cakap dengan lelaki perasan ni? Dahlah berlagak tak sudah-sudah. Menyakitkan hati orang dah memang jadi hobi dia agaknya. Aku berfikir sebentar. Nak bagitahu hal sebenar ke tak nak?
“Sebenarnya kami tak pernah berjumpa.” Ujarku dengan jujur.
“Maknanya, awak tak kenal dia lagilah, ni?” soal lelaki itu lagi.
Aku mulai sangsi dengan tingkah laku lelaki itu. Semakin lama, semakin berani pula dia bertanya itu dan ini tentang Hakim di hadapan keluarga aku dan Puan Syakirah. Tak tahu malu ke? Menganggu hidup orang yang sudah terang-terangan mempunyai ikatan? Cuba kalau ada lelaki lain yang berbuat begini kepada tunangnya? Apa yang dia akan rasa?
“Cik Balqis, zaman sekarang dah semakin moden. Semakin canggih. Gambar yang kurus, boleh digemukkan. Yang cerah, boleh digelapkan. Yang handsome macam saya pun boleh jadi hodoh macam dalam gambar tu. Cuba awak perhatikan tunang awak tu betul-betul.” Lelaki itu mendugaku.
Aku mengerutkan dahi. ‘Hati-hati sikit. Mungkin dia ada niat yang tak baik dekat kau.’ suara Nurul tadi terngiang-ngiang ditelingaku. Aku melihat gambar Hakim yang masih kupegang tadi sebelum menjarakkan diriku beberapa langkah darinya.
“Awak ni siapa sebenarnya, hah? Apa yang awak nak dari saya?” soalku penuh curiga.
Pemuda itu tiba-tiba tersenyum memandang Adi Putra yang masih berdiri di sebelahnya.
“Kak Qis, saya dah kata, abang saya ni memang cintakan akak. Tengok, mak dengan ayah saya sendiri tak dapat nak buat apa-apa. Sudahlah ibu, tak payah nak pura-pura lagi pandang tempat lain.” ujar Adi sambil menarik tangan Puan Syakirah.
Aku semakin tidak faham dengan situasi yang sedang berlaku ketika itu. Ibu?
“Adi dengan mak cik Syakirah ni…?”
“Inilah ibu Adi, kak.” Adi memberitahu.
“Maknanya, lelaki ni pulak…?”
Aku menunjukkan jariku kepada lelaki tadi. Hah? Apa semua ni? Apa yang sedang berlaku ni? Kenapa badan aku rasa nak pitam pula ni? Aduh, sakitnya kepala aku. Rasa macam nak terbang pun ada juga. Entah kenapa, tiba-tiba aku merasakan badanku ni ringan sahaja terhumban ke belakang. Alahai, apa dah jadi dengan aku ni...
**********
Dua minggu kemudian…
Aku melangkah keluar dari dewan kuliah dengan dada yang sangat lapang. Akhirnya, peperiksaan akhirku berakhir hari ini. Dan selepas ini, nak menjalani praktikal pula. Aku mengatur langkahku menuju ke tempat letak kereta. Tidak seperti sebelum ini, Nurul dan Zura tidak lagi menjadi penumpang kelisa comel aku tu. Sebab aku sendiri menumpang orang lain. Lagipun, diorang sekarang dah ada pemandu sendiri. Pergi berhantar, pulang berjemput. Siapa lagi kalau bukan oleh buah hati masing-masing. Dan aku pula…
“Dah lama tunggu?” soalku kepadaku Hakim yang sedang bersandar di pintu kia optima miliknya. Dia kelihatan santai mengenakan t-shirt lengan panjang bewarna biru. Dan seperti biasa, lengan bajunya pasti disinsingkan ke siku. Hm, stail dia memang begitu agaknya.
Pemuda itu mengeleng sambil membukakan pintu untukku. Gantleman sungguh.
“Taklah, baru beberapa jam je.” ujarnya selamba.
Aku hanya tersenyum lantas masuk ke dalam kereta. Sebenarnya, aku masih malu dan terkejut dengan peristiwa kelmarin. Dan itulah sebabnya kenapa aku masih belum berani lagi untuk menbalas gurauannya. Dia memang kelakar dan selamba. Ada saja kata-katanya yang membuatkan aku ketawa. Sejak kejadian aku pengsan di gelanggang bola jaring hari itu, Hakim begitu mengambil berat akan diriku. Dialah yang beriya-iya meminta izin dari mak dan ayahku untuk menjemput dan menghantarku ke kuliah setiap hari.
Hakim masuk dan menghidupkan enjin kereta. Pemuda itu tiba-tiba menyerahkan sepucuk sampul surat kepadaku. Aku memandangnya hairan.
“Bukalah.” Ujarnya sepatah.
Aku membuka sampul itu seperti yang diarahkan, lantas membaca isi kandungan tersebut. Bibirku meleretkan senyuman sambil menoleh memandangnya.
“Tahniah, Dr.Hakim.” ucapku kepadanya.
Hai, baru beberapa minggu balik Malaysia, dah dapat kerja. Murah betul rezeki dia. Bisikku sendirian.
“Terima kasih. Itu maknanya Qis kena belanja abang hari ni. Abang nak bawa Qis keluar, boleh?” soalnya.
“Belanja? No problem. Kita nak pergi mana?” soalku kembali.
“Em, kita makan dulu. Lepas tu, kita cari cincin kahwin.” Ujarnya sambil memandangku.
“Cincin kahwin? Kenapa cepat sangat?” ujarku sedikit terkejut.
“Buat apa tunggu lama-lama? Qis kan dah habis belajar. Abang pun dah ada kerja tetap. Rasanya, tak ada apa-apa bantahan, kan?” ujar lelaki itu sambil tersenyum-senyum kepadaku.
“Tapi, mak dan ayah cakap…”
“Abang dah berbincang awal-awal dengan mereka. Majlis perkahwinan kita akan dipercepatkan. Lebih kurang tiga minggu lagi.”
Buat kali kedua, aku terkejut yang teramat sangat. Tiga minggu? Biar betul Hakim ni. Cepat sungguh. Tapi sebenarnya, jauh di dasar hati aku ni, perasaan aku juga gembira sepertinya. Tetapi mungkin tak segembira emak aku. Akhirnya, tercapai juga hasrat wanita itu hendak bermenantu. Lepas ni, tak perlulah bersusah payah aku nak menahan telinga mendengar emak berceloteh lagi.
Aku tersenyum memandang Hakim. Seakan tidak percaya yang aku bakal menjadi isteri kepada insan sepertinya. Seorang lelaki yang cukup sempurna dimataku. Punyai kerjaya dan juga ilmu agama yang cukup untuk memimpinku menuju ke syurga Ilahi. Kini aku benar-benar bersedia untuk menjadi sayap kirinya. Dan yang paling penting sekali, bakal suamiku ini memang benar-benar handsome orangnya. Tak macam hindustan, tak macam cina. Tapi betul-betul lelaki melayu terakhir. Gambar yang Puan Syakirah berikan kepadaku dahulu, dialah punya idea. Macam mana dia boleh dapat idea nak adjust gambar dia sendiri pun aku tak tahu. Nak menguji aku konon. Nasib baik aku tak reject awal-awal dulu. Bagus juga mak paksa aku kahwin. Terima kasih mak…
**********
Tiga minggu kemudian,
“Ehem, ehem. Termenung apa tu?” Adi Putra tiba-tiba muncul di muka pintu bilikku bersama Syafiq.
Aku tersenyum memandang mereka berdua.
“Eh, Adi, Fiq. Masuklah.” Ujarku.
“Cantiknya kak Qis. Berseri-seri hari ni. Macam mana perasaan? Nervous tak?” soal Adi Putra kepadaku.
Aku tersenyum malu sambil mengangguk perlahan. Apa tidaknya, sebentar lagi aku dan Hakim akan diijab kabulkan. Kami akan bersama-sama melangkah ke satu lagi fasa dalam kehidupan ni.
“Kak, sebenarnya kitorang nak interview akak sikit. Camera ready?” soal Adi kepada Syafiq. Adikku yang baru berumur 17 tahun itu hanya mengangguk.
“Three, two, one, action. Okey kak Qis, boleh ceritakan kepada kami tentang detik-detik perkenalan akak dengan abang Hakim. Maksud Adi, bila pertama kali akak berjumpa dengan dia?” soal Adi seperti wartawan sahaja lagaknya.
Aku tersengih-sengih memandang mereka berdua sambil mencapai bantal kecil yang cantik tersusun di atas katil. Dengan geram, aku membaling bantal tersebut kepada mereka berdua. Terkekek-kekek mereka ketawa. Oh, nak mengungkit pasal aku pengsan lah tu?
“Nak tahu, semuanya Adi punya pasal. Sebab Adi lah akak pengsan dekat gelanggang masa tu, tau. Syafiq pun sama. Semua orang pun dua kali lima je. Sanggup ye korang ikut idea abang Hakim tu?” ujarku geram. Nak sangat jawapan, ambik kau.
Adi tersengih-sengih. Pemuda tampan berbaju melayu itu mendapatkan ku kembali.
“Rilekslah kak. Bawa bertendang. Eh, bawa bertenang. Okey kak Qis. Terima kasih di atas jawapan tadi.”
“Sama-sama.” Jawabku.
“Seterusnya, boleh tak akak beri anggaran, berapa ramai agaknya anak buah yang akak nak bagi kat kitorang nanti?” soal pemuda itu lagi sambil mengangkat-angkat keningnya.
Aku membulatkan mata. Untuk kali kedua, aku mencapai sebiji bantal lagi dan membaling ke arah mereka sekuat hati.
“Kurang asam. Korang tu budak-budak lagi. Tak sesuai tanya soalan-soalan macam tu. Dah, pergi keluar.” ujarku geram.
“Ya, Allah. Apasal bersepah-sepah ni? Siapa punya kerja ni ha?” emakku tiba-tiba muncul di muka pintu.
“Kak Qis, mak. Dia yang baling bantal-bantal ni kat kitorang tadi.” Syafiq mengadu. Ish, macam budak kecik. Sikit-sikit nak mengadu. Kalau korang tak cari pasal, takde makna akak nak baling bantal-bantal ni.
“Sudah, kemaskan balik. Tok Kadi dah nak sampai. Karang abang Hakim kamu masuk, pengsan pula dia tengok bilik pengantin dia macam ni.” ujar emak lagi seraya berlalu pergi.
“Hah, apa lagi? Kemas cepat.” Aku mengarahkan mereka sambil bercekak pinggang.
Dengan malas, dua orang bujang senang itu mengutip semula bantal-bantal yang kubaling tadi dan menyusun kembali di atas katil. Aku tersenyum apabila mereka berdua melangkah keluar sambil merungut-rungut. Marah nampak?
**********
Aku masih duduk mengadap cermin di meja solekku. Rambutku yang baru lepas dicuci, sengaja aku biarkan terurai. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Aku kini selamat bergelar isteri kepada Hakim. Dua orang kawan baikku, Nurul dan Zura, meskipun sampai agak lewat siang tadi, namun mereka tetap setia menemaniku sehinggalah majlis berakhir. Hm, kalau bukan kerana Adi, pasti semua ni tak akan berlaku. Apa tidaknya, dialah yang menyenaraikan namaku sebagai salah seorang calon isteri abangnya itu. Entah macam manalah Hakim boleh termakan dengan hasutan Adi untuk melamarku agaknya. Amboi, pergi universiti, bukannya nak belajar. Usya calon kakak ipar rupanya, ya...
Tentang taekwando, tentang kad misteri, ha, semua itu, turut juga tersenarai sebagai rancangan-rancangan mereka dua beradik untuk menguji kesetiaanku. Termasuklah luahan cinta Adi kepadaku semasa di restoran dahulu. Bak kata abangnya, diakan pelakon terbaik di universiti. Itulah idea yang paling gila di cadangkan oleh Hakim. Nak menguji percintaan jarak jauh konon. Tak pernah bersua muka pulak tu. Nasib baik aku lulus semua ujian tu. Kalau tidak, hasrat Adi yang pernah menginginkan aku untuk menjadi kakak iparnya dahulu, pasti takkan tercapai...
Aku tersentak apabila pintu bilikku tiba-tiba dibuka. Hakim masuk sambil meleretkan senyuman kepadaku.
“Tak tidur lagi ke?” soalnya kepadaku.
Hah? Jantungku mulai berdebar mendengar pertanyaannya itu. Hakim mendekatiku perlahan-lahan. Namun aku masih tidak berganjak dari kadudukanku tadi.
“Tak mengantuk ke? Tak penat?” soalnya lagi sambil membelai perlahan rambutku yang masih terurai. Tubuhku mula terasa gementar. Tetapi kugagahkan juga untuk mengelengkan kepala sebagai jawapan kepada soalannya tadi.
“Abang dah mengantuk ni. Kalau Qis tak ngantuk lagi, abang sajalah yang tidur dulu.” Ujarnya lantas naik ke atas katil.
Lelaki itu memadamkan lampu dan hanya cahaya suram sahaja yang menerangi bilik tidur kami. Aku menoleh setelah agak lama kemudian.
‘Dah lelap ke? Cepat betul suami aku ni tidur.’
Aku bangun perlahan-lahan. Mendengar desahan nafas lelaki itu, aku yakin, Hakim pasti sudah hanyut ke alam mimpinya.
Belum sempat aku merebahkan badan, aku terjerit kecil apabila terasa pinggangku tiba-tiba dirangkul erat oleh Hakim. Aku semakin terperanjat apabila suamiku itu menarik tubuhku ke dalam dakapannya.
“Abang tak mengantuk sebenarnya. Boleh abang temankan Qis?” Hakim berbisik perlahan ditelingaku.
Aku tidak membalas kata-katanya itu. Dalam hati, bukan main lagi aku merungut-rungut. Abang dengan adik, sama je. Memang layak sangat dapat anugerah pelakon terbaik. Aku memandang wajah suamiku. Meskipun dalam kegelapan, aku tahu dia pasti sedang tersenyum gembira kerana dapat mengenakanku tadi.
“Qis benci abang.” Ujarku perlahan.
“Abang cintakan Qis.” Balas Hakim pula.
- created 10 ramadhan, 2007 - nak spm woih masa tu.
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete